Ledak gol sampai Kim Min-jae terduduk, Faisal dipilih masuk senarai TOTM Piala Asia


  • Podium
  • Jumaat, 26 Jan 2024

Faisal (kanan) menyamakan kedudukan untuk Malaysia ketika berdepan Korea Selatan. — FAM

MASA Malaysia di Piala Asia 2023 sudah pun berakhir apabila Harimau Malaya terkandas di peringkat kumpulan.

Namun begitu, skuad kendalian Kim Pan-gon meninggalkan Qatar dengan nota positif apabila mereka berjaya mengikat salah sebuah pasukan pilihan, Korea Selatan 3-3 dalam aksi penuh dramatik.

Keputusan tersebut menyaksikan Korea Selatan hanya menamatkan saingan kumpulan E di tempat kedua di belakang Bahrain dengan skuad kendalian Jurgen Klinsmann itu terpaksa berdepan Arab Saudi pada pusingan seterusnya.

Hasil daripada pertemuan dua negara itu menyaksikan Malaysia akhirnya berjaya menjaringkan gol di Piala Asia. Gol pertama yang dihasilkan oleh Faisal Halim dengan pemain itu melakukan percubaan daripada sudut sukar.

BACA LAGI: Dominic Tan ampuh di Piala Asia, ramai patut minta maaf lepas keji CB 'solid' Sabah

20240125203854_IMG_0221

Faisal (kanan) melihat bola sepakannya masuk ke gawang Korea Selatan. — FAM

Lebih menarik, ia terhasil dengan Faisal berjaya membuatkan pertahanan Korea Selatan yang juga merupakan bintang Bayern Munich, Kim Min-jae terduduk.

Persembahan cemerlang yang ditonjolkan oleh Faisal dalam membantu Malaysia mendapatkan keputusan seri telah membolehkan pemain itu diletakkan dalam Team of the Matchday (TOTM) untuk perlawanan ketiga peringkat kumpulan Piala Asia.

Faisal menjadi satu-satunya pemain Malaysia yang memasuki senarai tersebut untuk edisi kejohanan kali ini. Selain Faisal, pemain Korea Selatan iaitu Lee Kang-in turut tersenarai.

Dia yang menjaringkan gol kedua Korea Selatan bertemu Malaysia melakukan sepakan percuma berkelas dunia menewaskan Syihan Hazmi.

BACA LAGI: Tak tahan malu seri dengan Malaysia, fans Korea Selatan mahu Kim Pan-gon ganti Jurgen Klinsmann

Selain Faisal dan Kang-in, bintang Iran iaitu Mehmdi Taremi, pemain Jepun, Ayase Ueda serta penjaring terbanyak semasa Piala Asia iaitu Aymen Hussein dari Iraq juga tersenarai dalam kesebelasan TOTM itu.

Satu lagi wakil Asia Tenggara dalam kesebelasan tersebut adalah penjaga gol Thailand iaitu Saranon Anuin. Dia melakukan persembahan cemerlang apabila memastikan gawang Gajah Perang tidak dibolosi ketika berdepan Arab Saudi.

Sebagai rekod, Thailand berjaya lolos ke pusingan kalah mati dengan mencatatkan nirbolos (clean sheet) dalam kesemua perlawanan peringkat kumpulan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram