Piala Asia: Socceroos dibuai keyakinan tanpa banyak cetus keriuhan


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Sabtu, 27 Jan 2024

Dalam diam, Australia mencipta kemaraan dalam Piala Asia. — Socceroos

Bola Pegun kembali menemui pembaca dengan mengalihkan tumpuan ke aksi Piala Asia 2023 di Qatar. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka pasukan-pasukan mengatasi pelbagai rintangan dalam memburu kejayaan.

BERBANDING kebanyakan pasukan lain dalam Piala Asia di Qatar, Australia memiliki kepayahan yang langsung tidak dicemburui lawan.

“Tahukah anda bagaimana sukarnya untuk menghimpun 26 pemain bersama-sama,” soal ketua jurulatihnya, Graham Arnold.

“Mereka bermain di pelbagai negara di dunia, beraksi di pertandingan yang berbeza-beza dan dilatih dengan cara yang tidak sama.

“Namun, apa yang paling penting ialah apabila mereka meyertai kem latihan, mereka memiliki kebanggaan dan maruah untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan.

“Kami memiliki budaya bersatu-padu. Apabila semangat kian meluap-luap dan pemain saling bekerjasama, mereka boleh mengatasi apa saja. Itulah yang sedang kami lakukan,” katanya lagi.

Skuad The Socceroos itu akan membuka tirai aksi kalah mati pusingan 16 terakhir dengan berdepan Indonesia di Stadium Jassim bin Hamad pada Ahad (7.30 malam) sambil mereka berkira-kira untuk memburu Piala Asia buat kali kedua.

Piala Asia Qatar 2023 adalah penyertaan kali kelima Australia dalam kejohanan peringkat benua ini dengan mencatatkan kemaraan ke suku akhir empat kali berurut-turut. Dalam tempoh itu, mereka mara ke perlawanan akhir sebanyak dua kali – tewas 0-1 kepada Jepun pada 2011 dan menundukkan Korea Selatan 2-1 dalam aksi kemuncak pada 2015.

BACA LAGI: Ramai fans lelaki ‘backup’ Intan Serah

421210412_908266047329317_2186889858610769148_n

Adakah Australia adalah 'dark horse' pada Piala Asia kali ini? — Socceroos

BACA LAGI: Tugas di Qatar selesai, 3 watak baharu harus digilap demi misi ke Piala Asia 2027

Kali ini, Australia mara selaku juara Kumpulan B di sebalik memerlukan sepakan penalti Martin Boyle dalam keputusan seri 1-1 dengan Uzbekistan, Selasa lalu. Mereka terdahulu menundukkan India 2-0 pada 13 Jan dan Syria 1-0 pada 18 Januari.

Arnold berang dengan kritikan terhadap persembahan Socceroos yang didakwa jauh daripada meyakinkan sambil menepis penyokong tidak faham bagaimana bola sepak antarabangsa boleh benar-benar menyukarkan.

Dalam pada itu, dia mempertahankan bahawa Australia sedang beransur-ansur meningkat semakin lama kejohanan ini berjalan.

Tapi pengkritik masih menuding jari kepada tiadanya kepelbagaian untuk memburu jaringan berbanding hanya bergantung kepada bahagian sayap, hantaran lintang dan kedudukan bola mati.

Mereka juga dikatakan berhempas-pulas untuk menterjemah penguasaan ruang kepada peluang – satu masalah yang membelenggu pasukan itu bertahun-tahun lamanya – tapi keyakini kini tinggi untuk perkara itu diatasi.

“Kami hanya punya satu percubaan tepat dan anda betul,” kata Arnold merujuk kepada perlawanan dengan Uzbekistan itu.

“Pada penghujungnya, ia bergantung kepada apa yang mampu kami bina. Kami memperagakan kombinasi yang baik dan permainan menyerang yang menarik. Tapi kami kerap kecewa dalam sentuhan terakhir,” tambahnya.

Arnold berkata apa yang orang tidak faham ialah Australia memiliki hanya empat pemain dengan pengalaman beraksi dalam Piala Asia sebelumnya.

“Dalam skuad seramai 26 pemain kali ini, kami ada 12 pemain yang beraksi dalam Piala Dunia Qatar pada 2022. Jadi, saya sedang mengadunkan sebuah pasukan baru. Kerana itu, saya telah gunakan hampir setiap pemain di peringkat kumpulan.

“Ia berkisar kepada bagaimana kami dapat menjalin persefahaman sebagai sebuah pasukan. Setakat ini, saya amat bangga dengan kadar kerja mereka. Tentunya kami boleh melakukan dengan lebik baik lagi.

“Tapi apabila anda memiliki pemain untuk hanya dua hingga tiga minggu bagi mempersiapkan mereka dan kemudian kami bermain dalam beberapa perlawanan, ia kesudahannya bersandar kepada budaya dan komitmen yang ditunjukkan pemain. Ia setakat ini sangat sangat menggalakkan,” tambahnya.

D pihak berlawanan, lawan mereka Indonesia sedang meniti peningkatan dengan bersandarkan kepada sekumpulan pemain muda berbakat di bawah asuhan jurulatih berpengalaman di peringkat Piala Dunia, Shin Tae-Yong.

Mewajahi skuad Garuda ini ialah anak emas berusia 19 tahun, Marselino Ferdinand, yang beraksi untuk K.M.S.K. Deinze di Belgium.

Penyerang licik itu telah meninggalkan impaknya dalam aksi peringkat kumpulan dengan memberikan masalah kepada pertahanan Iraq selain bek Jepun yang beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), Takehiro Tomiyasu.

Namun, sebagai perbandingan, Socceroos memiliki rekod baik menentang Indonesia dengan memenangi 11 daripada 15 pertemuan mereka. Pertemuan terakhir kedua-dua pasukan ialah dalam kelayakan Piala Asia pada 2010 yang dimenangi Australia 1-0.

Tapi itu cerita lama.

Indonesia menulis sejarahnya sendiri dalam Piala Asia dengan kemaraan ke pusingan 16 buat julung-julung kali selepas Kyrgyzstan dan Oman hanya mampu seri 1-1 dalam perlawanan terakhir Kumpulan F, Khamis lalu untuk skuad Garuda itu layak sebagai antara pasukan di tangga ketiga terbaik.

“Timnas kita telah mencipta sejarah layak ke pusingan 16. Dan ia belum lagi berakhir. Marilah kita berikan yang terbaik untuk mengangkat Garuda di persada dunia,” kata satu hantaran Presiden Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), Erick Thohir, di Instagram.

Indonesia menundukkan Vietnam 1-0 hasil satu sepakan penalti Asnawi Mangkualam untuk kemenangan tunggalnya di peringkat kumpulan selain kekalahan kepada Jepun dan Iraq, masing-masing dengan keputusan 1-3. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram