SEPERTI tahun sebelumnya, khabar angin perpindahan Liga Malaysia (Liga M) musim ini juga rancak dengan desas-desus membabitkan bintang bola sepak luar negara yang difahamkan sedang menjadi calon pasukan Liga Super.
Bukan hanya bintang dari negara Eropah dan Amerika Selatan menjadi sasaran kelab Liga Super pada jendela perpindahan kali ini, malah, pemain dari negara jiran seperti Indonesia juga diintai oleh penyokong bola sepak tanah air.
Antara nama besar bintang Indonesia yang menjadi rintihan penyokong ialah bek kanan skuad Sang Garuda, Asnawi Mangkualam selepas dia sah mengucapkan selamat tinggal kepada kelab Korean League 2 (K-League 2), Jeonnam Dragons baru-baru ini.
Asnawi sebelum ini pernah menjadi topik utama penyokong dunia bola sepak susulan aksinya ketika mengawal bintang Manchester United, Alejandro Garnacho dalam perlawanan persahabatan menentang Argentona pada Jun 2023.
Susulan prestasi cemerlang dalam perlawanan menentang juara Piala Dunia 2022 itu, jadi tidak hairanlah jika ramai penyokong tanah air seperti pengikut Selangor FC memasang hasrat untuk melihatnya menyarung jersi Gergasi Merah.
Penyokong Selangor percaya jika kelab berhasil membawa masuk pemain yang pernah menjadi penjaring termuda dalam sejarah Liga Indonesia itu mampu menawarkan pilihan di bahagian pertahanan kanan.
Naib juara Liga Super itu banyak mempertaruhkan Quentin Cheng di bahagian kanan, namun persembahan pemain berusia 24 tahun berkenaan kurang digemari terutamanya dari aspek membuat keputusan.
Pemain yang juga pernah diberi kepercayaan untuk menjadi ketua pasukan Garuda itu boleh menjadi nilai tambah untuk skuad kendalian Tan Cheng Hoe untuk mengukuhkan pasukan bagi saingan domestik dan saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).
Sekiranya, Selangor FC berhasrat untuk mendapatkan khidmat Asnawi, Gergasi Merah akan mendapat saingan daripada FC Seoul selepas kelab Korea Selatan itu dikhabarkan ingin mendapatkan bekas pemain PSM Makassar tersebut.
Sepanjang bersama Jeonnam, Asnawi sudah merekodkan 27 penampilan dalam semua kejohanan untuk kelab tersebut dan mencipta dua bantuan gol. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram