Piala Asia: Singa Mesopotamia sedia mengaum kembali


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Jumaat, 26 Jan 2024

Iraq menjadi juara Kumpulan D selepas menewaskan kesemua lawannya iaitu Indonesia, Vietnam dan Jepun untuk layak ke pusingan 16 Piala Asia.

BOLA Pegun kembali menemui pembaca dengan mengalihkan tumpuan ke aksi Piala Asia 2023 di Qatar. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka pasukan-pasukan mengatasi pelbagai rintangan dalam memburu kejayaan.

KETIKA Iraq melakar antara cerita kebangkitan paling mengejutkan dalam bola sepak apabila menjuarai Piala Asia 2007, persiapan mereka terhadap kejohanan itu sarat dengan kekacauan dan tragedi.

Berselang 16 tahun, rangka persediaan Iraq tidak mungkin lebih baik. Skuad Singa Mesopotamia itu menjuarai Kejohanan Piala Negara Teluk 2023 buat julung kali dalam tempoh suku abad pada Januari tahun lalu, kemudian menokok Piala Raja Thai ke kabinet trofi mereka pada September dan memulakan kempen kelayakan Piala Dunia 2026 dengan sepasang kemenangan.

Kini, harapan semakin tinggi untuk ketua jurulatihnya Jesus Casas, menyusuli langkah legenda, Jorvan Vieira, mengulangi pencapaian gemilang pada 2007 itu selepas memenangi ketiga-tiga perlawanan pertamanya dalam Piala Asia 2023 di Qatar.

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan ikut jejak JDT, Selangor wajar pertimbangkan rakan Nooa Laine ganti Ayron del Valle

Didahului oleh kemenangan 3-1 ke atas Indonesia pada 15 Januari, Iraq kemudian mengejutkan ramai dengan kejayaan mengalahkan pasukan pilihan, Jepun, 2-1 pada 19 Januari, dan seterusnya boleh bermegah memimpin Kumpulan D dengan gol minit terakhir menundukkan Vietnam 3-2 malam kelmarin.

Aymen Hussein menyumbat dua jaringan termasuk gol kemenangan pada detik-detik terakhir untuk tampil selaku pendahulu senarai penjaring di Qatar dengan lima gol.

Sembilan mata maksimum yang dihimpun Iraq di peringkat kumpulan mengatasi lima yang diraih mereka di peringkat sama pada 2007 dalam perjalanan untuk ditabalkan selaku juara. Ketika itu, mereka menewaskan juara tiga kali, Arab Saudi, 1-0 dalam final di Jakarta – kejayaan yang diraikan secara besar-besaran di seluruh Iraq.

Skuad 2023 di Qatar ini mengingati jelas detik-detik manis itu.

“Saya menonton final itu bersama keluarga,” kata pemain tengah, Osama Rashid. “Kami sangat gembira dan keluar ke jalanan untuk meraikannya bersama kawan-kawan.”

“Masih ramai yang bercerita mengenai kejayaan bersejarah itu. Maknanya pemain-pemain tahu hebatnya perasaan memenangi piala dan bagaimana mereka boleh membuat rakyat Iraq gembira,” tambahnya.

“Untuk kami mengulanginya di Qatar akan membuat ramai – 40 juta rakyat Iraq – amat gembira,” tambah Casas – bekas penolong jurulatih kepada Luis Enrique bersama pasukan kebangsaan Sepanyol – yang dilantik pada lewat tahun 2022 sebelum mereka menang Piala Negara Teluk di laman sendiri.

BACA LAGI: [VIDEO] 'When magic happens, jaringan Faisal Halim raih pujian seteru, disebut sebagai GOTT

Philippe Troussier

Troussier kini mengendalikan pasukan kebangsaan Vietnam.

Jurulatih Vietnam, Philippe Troussier, yang mengemudi Jepun menjuarai Piala Asia pada 2000, tidak berselindung dengan menyatakan Iraq berkemungkinan menjadi pasukan pilihan untuk tampil juara kali ini.

Namun, Casas bertegas bahawa tumpuan pasukannya hanyalah untuk perlawanan berikut dalam pusingan 16 menentang pasukan di tangga ketiga Kumpulan E, Jordan, pada 29 Januari.

“Ya, kami boleh menang tapi saya tahu ia akan menjadi amat sukar,” katanya.

Pemain tengah, Amir Al-Ammari, berasakan skuad Singa Mesopotamia itu mungkin berada di ambang sesuatu yang istimewa kali ini.

“Ini satu peluang besar untuk melakar sejarah dan pasukan ini memiliki mentaliti untuk menang,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Arab News. “Pasukan ini akan bersedia dan semua pemain sedia mengerah sehabis daya kami untuk memenangi kejohanan ini.”

Al-Ammari yang dilahir dan dibesarkan di Sweden mengakui Iraq amat dekat di hatinya. Dua hari selepas hari jadinya yang ke-10, dia bersama seorang abang dan bapa mereka menonton bagaimana Iraq menggamamkan Arab Saudi dalam final Piala Asia 2007 di Jakarta.

“Saya masih ingat gol kemenangan dijaringkan (Younis) Mahmoud. Saya tahu ia satu keputusan dan kejohanan yang amat besar. Saya hanya sangat gembira Iraq memenangi final itu tapi ketika itu saya tidak sedar ia satu pencapaian bersejarah buat seluruh negara,” katanya.

BACA LAGI: Peluk bersama hargai fans Harimau Malaya, bagai petanda duo JDT ke Pantai Timur semakin hampir

Ketika menjuarai Piala Negara Teluk, Al-Ammari yang bermain untuk kelab Sweden, Halmstads BK, merasai sendiri keghairahan peminat bola sepak Iraq ketika negara itu mengalahkan Arab Saudi, Qatar dan kemudian Oman dalam final di Basra.

“Ketika saya mula mewakili Iraq, perlawanan tempat sendiri kami ialah di Doha atau Jordan. Saya ada dengar mengenai suasana di Iraq tapi anda hanya percayainya apabila anda lihat dengan mata anda sendiri.

“Kami harapkan ia akan sama di Qatar yang agak berdekatan. Ada ramai rakyat Iraq di negara ini dan kami boleh harapkan mereka untuk menjadikan Piala Asia kali ini berasa seperti satu lagi kejohanan di halaman sendiri,” katanya.

Untuk Piala Asia kali ini, pendekatan Casas dalam membina pasukan berwajah barunya ialah memanggil pulang pemain yang berpangkalan di kelab-kelab Eropah. Dalam kempen kelayakan Piala Dunia setakat ini, pemain-pemain mengambil penerbangan pulang dari Portugal, Sepanyol, Sweden, Perancis, Jerman, Belanda, Republik Czech dan England.

Di sebalik latar belakang mereka yang berbeza-beza, Al-Ammari berasakan dia dan rakan-rakan sepasukannya tetap bersatu hati demi lencana di dada.

“Kami menjalin keakraban di atas padang dan saya rasakan itu adalah sesuatu yang indah dalam bola sepak. Kami mungkin bertutur bahasa yang berbeza-beza di luar padang tapi kami tetap menghayati dan menghargai satu sama lain.

“Sudah tentu penyokong Iraq sentiasa mengingatkan kami terhadap 2007 terutama melalui Instagram. Hanya dua tahun lalu, penyokong tidak mengharapkan kami untuk menjuarai kejohanan ini kerana prestasi kami yang terumbang-ambing.

“Tapi kini mereka mulai percaya, Kami juga percaya yang kami boleh mencapainya. Kami tahu 2007 adalah sebahagian besar sejarah Iraq tapi kini kami mahu menulis sejarah kami sendiri,” katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram