SELEPAS menamatkan saingan Liga Super musim lalu di tangga ke-11, Perak FC pastinya mahu membuat rombakan besar-besaran terhadap skuad pada jendela perpindahan kali ini.
Berdasarkan satu pengumuman sebelum ini, kelab Utara tanah air itu sudah melepaskan beberapa pemain, seperti T Shaheeshwaran serta Hafizal Muhammad yang masing-masing kurang membawa impak diharapkan buat pasukan.
Jadi, masing-masing pastinya kini sudah sibuk mencari pasukan baharu untuk disertai demi melangsungkan karier masing-masing dalam dunia bola sepak tanah air.
BACA LAGI: Bagi tempoh 2 tahun, Perak FC akan digeruni — Legenda The Bos Gaurus
Antara yang dilihat sudah menemui jalan penyelesaian ialah penyerang muda, Harith Naem Jaineh yang baru-baru ini didapati berada di padang latihan Sabah FC.
Berdasarkan foto yang dikongsikan di laman media sosial kelab, dia kelihatan sedang menyertai sesi latihan skuad senior sambil mengenakan bib untuk saingan Piala AFC dengan pasukan Borneo itu masih beraksi dalam pertandingan berkenaan.
Meskipun masih belum ada sebarang pengumuman rasmi, perkongsian tersebut seakan-akan menceritakan bahawa pemain berkenaan akan pulang ke negeri kelahirannya untuk musim akan datang.
Harith Naem kelihatan berada di padang latihan skuad Sang Badak baru-baru ini. — Facebook/Sabah FC
Kehadirannya itu turut diraikan penyokong skuad Sang Badak yang cukup teruja melihat kepulangan Harith Naem melihat kepada statusnya sebagai anak jati Negeri di Bawah Bayu tersebut.
"Ngam ini, pelapis ni harapnya dapatlah menyinar musim ini termasuk Harith, Azhad Harraz, Hanafie Tokyo dan sesiapa budak muda lagi," kata Jebat.
"Di Perak ke dia sebelum ini? Jarang juga main di Perak musim lepas. Harapnya dapatlah kembali bersinar di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee musim 2024 ini," ujar Karim Hafiz.
"Aikk, sudah masuk balik ke ni? Harap-harap lepas ni OK lah juga main ni. Semoga berjaya," ujar Azizi Jiji.
Meskipun baru sahaja beraksi secara profesional, Harith Naem mempunyai pengalaman cukup baik dalam arena bola sepak tempatan apabila pernah menyertai Perak FC, Melaka United serta skuad Sang Badak.
Berdasarkan rekod, penyerang berusia 21 tahun tersebut mencatatkan tujuh penampilan Liga Super bersama skuad senior TBG musim lalu dengan satu gol dijaringkannya.
Namun, khidmatnya dilihat lebih ditagih pasukan belia Perak FC apabila dia beraksi sebanyak 10 kali dalam saingan Piala MFL tanpa sebarang sumbangan di hadapan pintu gol dicatatkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram