Piala Asia: 'Kita pernah tewaskan Son Heung-min', fans HM teruja sama grup Korea Selatan


  • Podium
  • Khamis, 11 Mei 2023

Korea Selatan, Jordan dan Bahrain berada di dalam Kumpulan E bersama Harimau Malaya.

KOREA Selatan, Jordan dan Bahrain.

Itulah lawan skuad Harimau Malaya yang telah diundi bersama dalam Kumpulan E dalam kejohanan Piala Asia 2023 yang akan berlangsung pada Januari 2024 di Qatar.

Malaysia yang berada di ranking ke-138 telah diletakkan dalam pot empat bersama-sama wakil Asia Tenggara lain iaitu Thailand dan Indonesia.

Manakala Vietnam pula berada di pot ketiga bersama pasukan-pasukan seperti Bahrain, Lubnan, Palestin dan lain-lain lagi.

Kedudukan Malaysia dalam Kumpulan E ternyata mendapat pelbagai reaksi teruja daripada penyokong bola sepak negara.

Ia selepas kali terakhir Harimau Malaya layak ke Piala Asia secara merit sejak 42 tahun lalu di Kuwait pada 1980.

Harimau Malaya

Skuad Harimau Malaya yang berjaya layak ke Piala Asia 2023 secara merit. Facebook/FAM

"Jangan takut lawan Korea, kita pernah kalahkan Korea Selatan dekat Sukan Asia 2018, masa itu Heung Min-son ada dalam skuad itu," kata Najmi Akmal.

"Ini baru betul level-level Asia, kita semua dah boleh prepare lawan dengan pasukan Arab," ujar Hamzah Amin.

"Harap pemain-pemain semua bawa nama negara bukan bawa nama kelab, main satu hati tak ada yang mustahil dalam bola sepak," jelas Ali Kamaruddin.

"Heung Min-son bakal terkejut dengan kehadiran Harimau Malaya, Kim Pan-gon mesti tahu taktikal Korea Selatan nanti," luah Khairi Zakwan.

Heung Min Son

Malaysia bakal bertemu Heung Min-son dalam Kumpulan E. Agensi

Sebelum ini anak-anak buah Kim Pan-gon berjaya menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia secara merit selepas menundukkan Bangladesh 4-1 dalam aksi terakhir kelayakan Kumpulan E di Stadium Nasional, Bukit Jalil,Kuala Lumpur pada 2022.

Kemenangan itu menyaksikan skuad Harimau Malaya menamatkan saingan di tangga kedua Kumpulan E dengan enam mata dan berjaya menempatkan diri dalam kelompok lima naib juara terbaik dari enam kumpulan yang mendapat tiket ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

Bahrain yang terlebih dahulu mengesahkan tempat ke pusingan akhir muncul juara Kumpulan E dengan mengumpul sembilan mata, sementara Turkmenistan di tangga ketiga (tiga mata) dan Bangladesh di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram