Demi Man United, Onana sanggup turun berdepan Spurs sehari sebelum aksi AFCON


  • Podium
  • Jumaat, 05 Jan 2024

Prestasi Onana yang tidak menentu masih tidak mencalarkan tempatnya dalam skuad The Red Devils musim ini. — Agensi

DILEMA kini sedang melanda pasukan-pasukan seluruh dunia apabila pemain berasal dari benua Afrika dan Asia perlu melaporkan diri untuk Piala Asia dan Piala Negara Afrika.

Antara yang pastinya berdepan perkara itu ialah kelab-kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), termasuk Manchester United yang terpaksa melepaskan beberapa tonggak utama mereka.

Salah seorang daripadanya ialah penjaga gol, Andre Onana yang merupakan pemain antarabangsa Cameroon dengan khidmatnya ditagih buat negara bermula 16 Januari ini.

Meskipun beberapa kali melakukan kesilapan, dia masih dianggap sebagai watak penting buat skuad The Red Devils sejak tiba dari kelab Itali, Inter Milan pada jendela perpindahan musim panas lalu.

Berdasarkan perbincangan awal, Onana perlu melaporkan diri ke kem latihan berpusat Cameroon lebih awal yang sekali gus menyaksikannya bakal terlepas aksi EPL menentang Tottenham Hotspur di laman sendiri.

Kehilangannya dikhuatiri akan mengganggu persiapan memandangkan skuad kendalian Erik ten Hag perlu menurunkan penjaga gol simpanan, Altay Bayindir yang masih belum beraksi secara kompetitif musim ini.

13onana-mediumSquareAt3X

Khidmat Onana masih diperlukan Cameroon untuk kempen AFCON kali ini. — Agensi

Bagaimanapun, dalam satu perkembangan baharu, pemain berusia 27 tahun berkenaan dilaporkan bersedia untuk diturunkan untuk perlawanan menentang Spurs yang akan diadakan beberapa hari sebelum pertemuan antara Cameroon dengan Guinea.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Cameroon (Fecafoot), kelonggaran diberikan meskipun Onana sebelum ini pernah mempunyai konflik tersendiri dengan presidennya, Samuel Eto'o.

Manchester United sebelum ini mengalami kekalahan ketika berdepan Tottenham Hotspur dalam aksi EPL dengan penjaga gol itu diturunkan sepanjang 90 minit permainan.

BACA LAGI: Buat dua kesilapan besar, ETH enggan salahkan Onana punca Man United tak menang

Kepercayaan diletakkan ten Hag kepadanya mula membuahkan hasil apabila skuad The Red Devils hanya dibolosi sebanyak 27 kali musim ini dengan ia merupakan rekod keempat terbaik.

Namun, ia masih belum cukup untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam carta liga dengan pasukan itu kini berada di tangga kelapan selepas 20 perlawanan.

Bagi Cameroon pula, aksi berdepan Guinea akan dituruti dengan perlawanan bertemu Senegal pada 24 Januari sebelum menutup aksi Kumpulan C menentang juara bertahan AFCON, Senegal. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram