[VIDEO] Hubungan cinta terhalang punca kes gaduh di Shah Alam


  • 112
  • Isnin, 22 Jan 2024

Tangkap layar video memaparkan pergaduhan yang berlaku di perkarangan gelanggang bola keranjang di Shah Alam, Selangor pada Ahad.

SEKUMPULAN individu tular selepas memukul seorang lelaki ketika berada di kawasan berhampiran gelanggang bola keranjang di Seksyen 28 Shah Alam, Selangor pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian tersebut pukul 6.39 petang daripada mangsa yang berusia 19 tahun.

BACA LAGI: Gaduh sampai guna pisau, jiran tak diam diri bila dengar jeritan minta tolong

Iqbal berkata, mangsa memberitahu dia telah diserang enam lelaki yang dikenali ketika berada di bersebelahan lokasi kejadian.

"Tetapi, pada pukul 7.05 petang, suspek mendakwa dipukul oleh mangsa sehingga mengalami kecederaan manakala mangsa dalam kes ini tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Siasatan mendapati, punca kejadian adalah disebabkan mangsa telah menghalang salah seorang suspek untuk meneruskan hubungan dengan kakak saudaranya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Bertindak atas maklumat, dua lelaki berumur lingkungan 19 dan 25 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, kedua-dua individu tersebut turut mempunyai rekod lampau melibatkan kes dadah dan jenayah.

"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati, salah seorang tangkapan berumur 25 tahun positif dadah jenis syabu.

"Reman bagi kedua-dua tangkapan telah dipohon di Mahkamah Shah Alam dan dibenarkan tahanan reman selama tiga hari bermula Isnin hingga Rabu ini," katanya lagi.

Sementara itu, Iqbal berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu memiliki senjata maut dalam rusuhan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga lima tahun penjara atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Mohd Syer Aidid ditalian 013-6544996," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram