Dilabel jelmaan Azman Adnan, prospek Kota Marudu menggila ledak hatrik Piala SAFA


  • Podium
  • Isnin, 22 Jan 2024

Aaron Aiwin menyarung jersi bernombor 11 meledak lima gol bersama Kota Marudu dalam saingan Piala Safa 2024 Zon Barat Utara.

PERNAH ditolak dalam pemilihan pemain skuad bola sepak kampung halamannya di Kudat, Sabah, tidak mematahkan semangat seorang remaja lelaki untuk bangkit menjadi penjaring terbanyak Piala Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) 2024 Peringkat Zon.

Kekecewaan itu menjadi suntikan untuk tidak mematahkan semangat Aaron Aiwin Jensin yang akhirnya membawa pasukan Kota Marudu dinobatkan sebagai juara Piala Safa 2024 Zon Barat Utara baru-baru ini.

Nama pemain amatur berusia 17 tahun itu menjadi tular di media sosial apabila kisahnya dari jadi pemain buangan pasukan Kudat bertukar nasib menjadi wira Kota Marudu dengan meledak lima gol secara keseluruhan dan tiga daripada jaringannya dicetak ketika menentang kampung halamannya sendiri.

Bercakap mengenai pemilihan Aaron Aiwin ke pasukan Kota Marudu, pengendalinya, Hairon Jackson@Bungkal berkongsi bahawa hanya memerlukan 20 minit untuk jatuh cinta dengan kemahiran kemahiran dan mutu permainan yang dimiliki prospek Kudat berkenaan.

Hairon menjelaskan bahawa pemain berkenaan bukan hanya mempunyai kriteria penyerang yang diingininya, malah pelajar kolej vokasional Kudat itu juga seorang penyerang mudah dilentur dengan kemahiran sedia ada.

aaron

Aaron Aiwin bersama jurulatih kecergasan Kota Marudu dan ibunya.

"Dia ada bakat, bila sentuh bola dia tahu nak berhenti di mana. Dia ada kriteria penyerang yang saya cari. Saya suka dia ada keupayaan dan sangat rajin. Saya berbincang dengan barisan coach dan akhirnya putuskan untuk main dengan Kota Marudu.

"Aaron Aiwin ini jenis humble. Dia memang tidak banyak bercakap. Kita pun tak tahu mungkin selection di Kudat ada kriteria yang mereka nak. Kemungkinan tiada rezeki bermain di sana," katanya kepada Majoriti.

Lebih mengagumkan apabila pengendali berkenaan melihat Aaron Aiwin mempunyai naluri seorang penyerang seperti legenda bola sepak negara, Azman Adnan yang merupakan antara peledak berpengaruh negara.

Pengendali itu bagaimanapun menegaskan kerjasama semua pemain membantu Aaron Aiwin menjadi penjaring terbanyak kejohanan dan membolehkan pasukannya memberi saingan sengit kepada pasukan lain seperti Kudat, Kota Belud serta Pitas.

WhatsApp Image 2024-01-22 at 17.25.42

Hairon (tengah) bersama barisan kejurulatihan Safa daerah Kota Marudu.

"Aaron Aiwin ini mirip Azman Adnan. Dia ada naluri sebagai penjaring. Dia akan buat selagi mampu. Pada awalnya dia risau kalau dianggap tamak cuma dia ikut nasihat saya. Disamping rakan pasukan lain memang beri kerjasama.

"Dibanding dengan umurnya 17 tahun tapi dia main sangat matang. Tahap dia boleh pergi jauh jika dapat peluang dan bila build up Aaron, dia boleh jadi pemain yang lebih baik," jelas pengendali itu.

Hairon yang juga bertugas sebagai penjawat awam itu optimis bahawa Aaron Aiwin mampu menarik minat pasukan seperti Sabah FC dan berpotensi menjadi salah satu penggempur negeri berkenaan sekiranya dia terus berdisiplin.

Selepas ini, khidmat Aaron Aiwin akan digunakan lagi bagi membantu Kota Marudu beraksi di Kejohanan Piala SAFA 2024 Peringkat Negeri yang dijadualkan pada 25 hingga 27 Januari depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram