Ramai anggap jeneral tengah Selangor lebih sesuai diberi peluang berbanding Natxo


  • Podium
  • Ahad, 21 Jan 2024

Pemain serta penyokong skuad kebangsaan kelihatan kecewa selepas mengalami satu lagi kekalahan dalam Piala Asia 2023. — Facebook/FAM

KEKALAHAN tipis 0-1 skuad kebangsaan kepada Bahrain dalam aksi kedua Kumpulan E Piala Asia pastinya sukar diterima penyokong kerana ia menandakan kemaraan Harimau Malaya terhenti di situ.

Mereka yang mengalami dua kekalahan berturut-turut tidak lagi berpeluang untuk merebut slot ke pusingan kalah mati seperti mana diharapkan orang ramai.

Lebih mengecewakan lagi, penyokong berasakan kegagalan membawa pulang sebarang mata itu berpunca daripada gaya permainan yang tidak menceritakan prestasi sebenar pasukan negara.

Selain itu, kekalahan tersebut juga sukar ditelan apabila beberapa percaturan ketua jurulatih, Kim Pan-gon menimbulkan tanda tanya dalam aksi di Stadium Jassim bin Hamad, Qatar pada Sabtu.

Antara keputusan yang dikritik ramai ialah semasa pengendali dari Korea Selatan itu membawa masuk pemain tengah, Natxo Insa pada separuh masa kedua permainan.

BACA LAGI: OKS pernah letak syarat sebelum serap pemain naturalisasi ke Harimau Malaya

420425103_1081663896240179_3357015609415365522_n

Natxo Insa dimasukkan sebagai pemain gantian ketika aksi berdepan Bahrain pada Sabtu. Facebook/FAM

Kegagalannya untuk menyekat hantaran lawan serta mencari rakan sepasukan menyaksikan jeneral veteran berkenaan menjadi tumpuan kecaman di media sosial.

Meskipun kemasukannya dibuat untuk memastikan Syamer Kutty Abba tidak dikenakan kad kuning kedua, rata-rata penyokong berpendapat masih ada pilihan lain buat Pan-gon.

Salah satu nama yang dipetik ialah pemain tengah berusia 35 tahun, Brendan Gan yang sering diberikan peluang beraksi dalam kempen pra-Piala Asia kali ini.

Dia yang masih belum mencatatkan sebarang minit permainan di Qatar dilabel sebagai pengganti lebih baik kepada Syamer berbanding Natxo berdasarkan gaya permainannya.

"Pemain yang sentiasa memberikan aksi terbaik setiap kali diturunkan dan tak menolak setiap kali dipanggil. Perlawanan persahabatan, Piala AFF atau kelayakan, semua dia main dengan penuh semangat demi lencana di dada.

BACA LAGI: PM Anwar kongsi azimat semangat buat Harimau Malaya sebelum aksi Bahrain

420329214_1081664212906814_6576736027287367778_n

Brendan Gan masih belum berpeluang beraksi di Piala Asia kali ini. Facebook/FAM

"Tetapi dalam dua perlawanan yang lepas, dia tidak diturunkan. Sungguh tidak adil," kata Muzakkir Zuki.

"Kau letaklah dia di posisi apa sekali pun, dia tetap main. Yang jadi kebodohan adalah sanggup bagi si Natxo yang berusia itu main," kata Fikri.

"Brendan Gan tidak meraih sebarang minit permainan ketika berdepan pasukan yang lebih hebat dari segi fizikal dan cukup agresif. Saya pun tidak dapat katakan apa-apa mengenai keputusan itu," kata Keesh Mat Stats.

Dalam beberapa aksi sebelum Piala Asia, Brendan yang merupakan kapten Selangor FC menjadi watak utama buat Pan-gon dengan kebolehan pemain berdarah kacukan Australia-Malaysia itu sukar dipertikaikan.

Namun, dengan Harimau Malaya mempunyai objektif dan gaya taktikal sendiri, terdapat kemungkinan bekas pemain Perak FA tersebut tidak akan diturunkan sepanjang kejohanan.

Skuad kebangsaan bakal berdepan Korea Selatan dalam aksi penutup tirai Kumpulan E Piala Asia pada Jumaat dengan pasukan itu juga masih belum mengesahkan slot ke peringkat kalah mati. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram