Ekor HM dan Hong Kong 'musuh' atas padang, siap menang 4-3 aksi 'friendly' di Qatar


  • Podium
  • Selasa, 23 Jan 2024

Penyokong Malaysia dan Hong Kong mengadakan perlawanan persahabatan di Qatar. — X/Balrz.tv

PERSAHABATAN dalam bola sepak merentasi negara, budaya dan peradaban. Tanpa kita sedar, bola sepak boleh menyatukan semua walau berapa jauh pun terpisah.

Di saingan Piala Asia 2023 juga begitu, kita dapat saksikan persahabatan antara warga benua terbesar dunia terjalin termasuklah Malaysia.

Perjalanan Malaysia di kejohanan itu mungkin sudah berakhir apabila terpaksa pulang awal. Tetapi, hubungan persahabatan dibina oleh ekor Harimau Malaya yang terbang ke Qatar pastinya akan kekal berpanjangan.

Lebih-lebih lagi melibatkan penyokong Hong Kong. Baru-baru ini, sekumpulan penyokong Malaysia dan Hong Kong telah mengadakan perlawanan persahabatan di Doha, Qatar untuk memeriahkan lagi acara Piala Asia 2023 yang sedang hangat berlangsung.

Menurut salah seorang wakil penyokong Malaysia, Arif Kori, dia mengatakan perlawanan tersebut sebenarnya telah dirancang lebih awal bersama-sama penyokong Hong Kong.

BACA LAGI: [VIDEO] Sebelum De Paula, 3 pemain import 'lejen' nyaris sarung jersi Harimau Malaya

photo_2024-01-23_18-15-59

Poster perlawanan persahabatan antara penyokong kedua-dua negara. — X/Balrz.tv

"Sebenarnya, kami sudah aturkan perlawanan ini sejak sebelum Piala Asia 2023 hendak diadakan lagi. Kedua-dua belah penyokong sebenarnya sudah berkawan baik sejak perlawanan kelayakan Piala Asia 2019.

"Disebabkan kedua-dua negara berjaya layak ke Piala Asia 2023, jadi kami adakan perlawanan ini. Penyokong Malaysia dan Hong Kong mempunyai hubungan yang baik sesama sendiri," kata Arif kepada Majoriti.

Untuk rekod, Malaysia dan Hong Kong bertemu dua kali dalam kelayakan Piala Asia 2019 dengan menyaksikan Harimau Malaya seri sekali dan kalah sekali.

Lebih menarik, waktu itu, pengendali Malaysia sekarang iaitu Kim Pan-gon merupakan jurulatih Hong Kong!

Perlawanan tersebut diadakan di Doha Sports Park, Doha dengan seperti di Malaysia, kedua-dua pasukan perlu menyewa padang dan pengadil.

Setiap pasukan perlu membayar QAR688 (RM893) untuk beraksi di padang dengan kualiti rumput terbaik serta perlawanan diadili oleh pengadil. Namun begitu, penyertaan penyokong Malaysia sangat positif kerana mereka tidak mahu melepaskan peluang beraksi di bumi Qatar.

BACA LAGI: 'Saya cuma nampak kebencian', Liridon bagi emoji love hitam kuning tagih sokongan ekor Harimau Malaya

photo_2024-01-23_18-15-57

Arif (kiri) bersama-sama penyokong Malaysia yang lain di Qatar. — X/Balrz.tv

"Padang di sini sangat baik, saya tak pasti mereka gunakan rumput jenis apa tapi yang pasti ia bukan cowgrass.

"Saya diberitahu jenis rumput yang digunakan adalah sama dengan apa yang dipakai dekat akademi Paris Saint-Germain (PSG) cawangan Qatar," jelas Arif.

Perlawanan yang disertai hampir 40 penyokong kedua-dua negara mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang juga berada di sana.

Hannah sempat hadir ke padang tersebut untuk meraikan penyokong Malaysia sambil melihat mereka menang 4-3 ke atas Hong Kong!

"Pada mulanya, YB Hannah tidak tahu mengenai perlawanan ini tetapi selepas diberitahu, dia pun hadir ke padang untuk meraikan mereka yang turut serta.

"Selain daripada YB Hannah, wakil dari pihak AFC dan FA Qatar juga turun untuk menyantuni kami," ujar Arif menutup perbualan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram