[VIDEO] Ikuti perkembangan penyerang muda, coach Australia gembira keputusan Luqman Hakim ke Jepun


  • Podium
  • Isnin, 22 Jan 2024

Luqman kini menyertai YSCC Yokohama secara pinjaman daripada K.V. Kortrijk selama satu musim. — Agensi

MESKIPUN ramai penyokong tanah air 'berbunyi' dengan keputusan penyerang muda, Luqman Hakim Shamsudin untuk berhijrah ke kelab Jepun divisyen tiga, YSCC Yokohama namun masih ada individu penting bersetuju dengan keputusannya.

Antara yang menyokong tindakan Luqman Hakim untuk berkelana di bumi negara Matahari Terbit berkenaan adalah bekas pengendali skuad bola sepak Bawah 23 tahun (B-23) negara, Brad Maloney.

Menerusi satu temu bual bersama Astro Arena, penolong jurulatih pasukan kebangsaan Australia yang kini berada di Qatar itu menganggap Luqman Hakim akan menimba pengalaman berbeza di Jepun.

"Saya berasakan ianya satu peluang yang terbaik buat Luqman Hakim beraksi di Jepun. Dia sudah mempunyai pengalaman yang luas di Eropah dan dia seorang pemain yang berani untuk mencabar diri bermain di luar negara.

“Dia menunjukkan komitmen tinggi untuk kekal beraksi di luar negara. Ianya satu perkara yang bagus buatnya untuk terus berkembang dari segi pengalaman dan juga secara individu. Saya gembira untuk Luqman Hakim," katanya.

BACA LAGI: Harap anda terima kehadiran saya — Luqman Hakim

maloney

Maloney ketika melatih pasukan Harimau Muda negara. — Facebook/FAM

BACA LAGI: Tak cari sushi, Luqman Hakim masih ingat asal usul di Jepun

Maloney yang jelas mengikuti perkembangan bekas anak buahnya itu menitip pesanan kepada penyerang muda berkenaan untuk terus merebut minit permainan di Jepun agar dapat mengekalkan tempat dalam skuad negara.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan bahawa Luqman Hakim akan menempuh jalan sukar untuk terus kekal relevan terutamanya apabila wujud persaingan sengit daripada pemain lain di posisi sama.

“Saya pasti dia bercita-cita tinggi untuk terus mewakili Malaysia di peringkat tertinggi. Sebagai pemain muda yang beraksi di posisi beliau, ianya bukan jalan yang mudah untuk bersaing bersama pemain terbaik negara dan ada di antaranya ialah pemain warisan.

“Dia perlu bekerja keras untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama dan saya yakin jurulatih negara akan memantau prestasi dan akan dipanggil jika dia sudah dalam keadaan terbaik," jelasnya.

Baru-baru ini, penyerang kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu menyertai YSCC Yokohama selama semusim bermula pada Januari ini sehingga Disember 2024 dengan status pinjaman dari kelab Belgium, KV Kortrijk.

Dalam pada itu, Luqman Hakim mengakui tidak sabar untuk memulakan cabaran baharu bersama kelab Jepun tersebut dan pemain berusia 21 tahun itu juga berharap agar penyokong Yokohama menerima kehadirannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram