Harap anda terima kehadiran saya — Luqman Hakim


  • Podium
  • Selasa, 16 Jan 2024

Luqman Hakim ketika bersama skuad B-23 negara pada Disember lalu. — Facebook/FAM

TEKA-TEKI destinasi Luqman Hakim Shamsudin akhirnya terjawab selepas kelab divisyen ketiga Jepun, YSCC Yokohama mengumumkan kehadiran penyerang muda negara berkenaan sebagai pemain baharu mereka musim ini.

Menerusi media sosial rasmi kelab berkenaan, penyerang kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu akan menyertai YSCC Yokohama dengan status pinjaman dari kelab Belgium, KV Kortrijk.

"Kami mahu memaklumkan bahawa satu keputusan sudah dibuat dan Luqman Hakim akan menyertai kelab secara pinjaman dari KV Kortrijk (Belgium)," kata kelab berkenaan pada Selasa.

Memetik laporan media tempatan, Luqman Hakim akan beraksi sebagai pinjaman selama setahun dengan kelab Liga 3 Jepun bermula pada Januari ini sehingga Disember 2024.

Dalam pada itu, Luqman Hakim mengakui tidak sabar untuk memulakan cabaran baharu bersama kelab Jepun tersebut dan pemain berusia 21 tahun itu juga berharap agar penyokong Yokohama menerima kehadirannya.

BACA LAGI: Luqman Hakim sah ke J League, fans risau ikut sejarah hitam bekas penyerang Perak

WhatsApp Image 2024-01-16 at 20.15.30

Kelab divisyen ketiga Jepun, YSCC Yokohama menyambut baik kehadiran Luqman Hakim.

BACA LAGI: Bakal sarung jersi mahal no.47, Awang Hitam Promise pasti menyusahkan Luqman Hakim di YSCC Yokohama

"Untuk pertamanya, saya Luqman Hakim dari Malaysia dan saya sangat gembira hadir ke Yokohama dan harap dapat berikan yang terbaik untuk pasukan ini pada musim ini. Seronok dapat jadi sebahagian keluarga Yokohama.

"Untuk penyokong Yokohama, harap anda sentiasa menyokong kelab dan bagi sokongan. Harap anda terima kehadiran saya," kongsi Luqman Hakim dalam video yang dimuat naik Yokohama pada Selasa.

Penyokong tanah air juga teruja untuk menyaksikan penyerang Harimau Muda itu akan mendapat peluang bermain bersama Yokohama susulan sebelum in, Luqman Hakim kurang diberi kepercayaan untuk beraksi bersama Kortijk dan kelab Iceland, Njardvik.

Untuk rekod, penyerang muda itu hanya meraih tiga penampilan bersama skuad senior Kortijk sebelum mencari angin baharu dalam kariernya dengan menjadi pemain pinjaman ke kelab Liga 2 Iceland, Njardvik FC dalam usaha mendapatkan minit permainan.

Namun seperti di Kortrijk, Luqman Hakim hanya mengumpul 317 minit permainan untuk kesemua perlawanan yang disertai Njardvík dan sekadar menyumbat dua jaringan gol buat pasukan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram