KELAB Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) telah mengumumkan pemergian bintang Argentina mereka iaitu Fernando Forestieri.
Pemain berusia 33 tahun itu meninggalkan Harimau Selatan selepas dia menjadi sebahagian daripada pelbagai nama yang dilepaskan oleh kelab tersebut menjelang musim 2024/2025.
"Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) ingin mengucapkan terima kasih kepada Fernando Forestieri atas sumbangannya kepada Harimau Selatan sejak menyertai kelab pada permulaan musim 2022.
"Penyerang ini adalah sebahagian daripada skuad Harimau Selatan yang mencipta sejarah memenangi double quadruple pada 2022 dan 2023. Beliau telah menjaringkan 47 gol dan 21 bantuan jaringan menerusi 69 penampilan dengan JDT," kata JDT dalam kenyataan mereka.
BACA LAGI: TMJ dedah JDT jimat 40%, 'ex' Kedah, Selangor mula jadi sebutan pengganti Forestieri
Forestieri akan sentiasa dikenang sebagai salah seorang pemain yang mempunyai kelas tersendiri apabila beraksi di padang.
Pengalaman beraksi di pelbagai pentas terbaik seperti English Premier League (EPL) dan Serie A di Itali nyata membantu Forestieri untuk berada pada satu tingkat lebih atas berbanding pemain-pemain lain di Liga Super.
Pemergiannya nyata mengundang rasa sedih penyokong setia Harimau Selatan. Bagi majoriti daripada mereka, Forestieri adalah seorang pemain import yang istimewa dan sememangnya boleh dianggap sebagai legenda kelab.
"Nampaknya kita tak akan dapat melihatnya di padang dan kem JDT lagi. Pemain yang cukup bagus, rajin dan bantuan golnya banyak tetapi Tunku Mahkota Johor (TMJ) ada alasan tersendiri menggugurkannya. Sedih melihat pemain ni tak ada dah. Tanpa dia kita tak akan menang Piala Malaysia dan tak akan menang gol tunggal minit akhir," kata penyokong bernama Azree Jaybee.
"Forestieri ni tiga, empat kali lebih baik daripada Juan Muniz. Tapi apakan daya, ada perancangan lain," ujar Matt Adil.
"Peh hebat kot dia ni. Tak apa la demi penjimatan. Good luck Forestieri. Pemain hebat datang dan pergi itu biasa," komen Mohd Sufian Hassan.
Forestieri dianggap sebagai pemain yang rajin ketika beraksi. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Di mata penyokong JDT, Forestieri akan sentiasa dikenang sebagai pemain yang rajin dan sanggup 'mati' demi pasukan.
"Salah seorang pemain yang rajin," kata penyokong bernama Samir Sulam.
"Antara pemain yang rajin turun naik dalam padang," komen Ammar Hisham pula.
"Antara pemain import yang penuh jiwa bila bermain. Paling suka bila dia terlepas bola, sampai dapat dia kejar. Terima kasih, semoga maju jaya," ujar Irwa Azrin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram