SELANGOR musim ini menamatkan perjalanan saingan Liga Super di tangga kedua selepas hanya merekodkan lima kekalahan dan 20 kemenangan dalam 26 perlawanan.
Skuad kendalian Tan Cheng Hoe juga berjaya merebut slot ke pentas Asia pada musim depan sekali gus melakukan penampilan pertama dalam kejohanan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2) yang akan menentang kelab-kelab daripada Jepun, Korea Selatan dan China.
Dengan Selangor yang akan beraksi di pentas Asia, penyokong mula teruja untuk melihat perancangan pihak pengurusan bagi membentuk pasukan yang lebih ampuh bagi memberi saingan dalam kejohanan domestik mahupun antarabangsa.
Baru-baru ini tersebar luas gambar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Dr Johan Kamal Hamidon serta Ketua Pegawai Operasi (COO), Aladdin Mostaffa bersama bintang Thailand, Chanathip Songkrasin sekali gus menimbulkan spekulasi perpindahan pemain itu ke Selangor musim depan.
Menyemarakkan khabar angin Chanathip ke Selangor, Majoriti senaraikan pro-kontra jika pemain berusia 30 tahun itu menyertai Gergasi Merah musim depan:
Chanathip musim ini beraksi bersama BG Pathum United.
Pro:-
1. Pengalaman beraksi di pentas ACL
Sejak 2015, Chanathip sudah mula beraksi dalam pentas ACL dengan kelab Thailand, Muangthong United dan sejak daripada itu pemain berusia 30 tidak lagi menoleh belakang apabila sering terlibat dengan kejohanan tertinggi Asia tersebut.
Secara keseluruhan Chanathip melakukan 14 penampilan dalam ACL dan berjaya menjaringkan lima gol serta tiga bantuan jaringan (assist).
Bekas pemain Police Tero FC itu telah menyertai ACL dengan tiga pasukan berbeza iaitu Muangthong United, Kawasaki Frontale dan BG Pathum United.
Dengan pengalaman tinggi beraksi di pentas ACL ia sedikit sebanyak dapat membantu Selangor mengharungi penampilan pertama dalam ACL 2 musim depan.
2. Rekod baik di Liga Jepun
Umum mengetahui, ACL 2 akan disertai oleh kelab-kelab dari Jepun, China dan Korea Selatan yang saban tahun terlibat dengan kejohanan tertinggi Asia itu.
Mula menyertai Liga Jepun bersama Hokkaido Consadole Sapporo secara pinjaman dari Muangthong United pada 2017.
Aksi lincah Chanathip terus memikat hati pihak pengurusan Consadole Sapporo untuk membelinya secara tetap selepas tamat tempoh pinjaman tersebut.
Bersama Consadole Sapporo, Chanathip berjaya menjaringkan 15 gol dan 22 assist dalam 123 penampilan sebelum dibeli oleh Kawasaki Frontale pada musim 2022.
Kontra:-
1. Terdedah kepada kecederaan
Tidak dapat dinafikan, Chanathip merupakan seorang 'playmaker' terbaik yang pernah dihasilkan oleh Thailand di zaman bola sepak moden ini.
Ia kerana gaya permainan Chanathip persis bintang Argentina, Lionel Messi apabila pemain itu juga mempunyai kekuatan di bahagian kaki sebelah kiri.
Namun pemain berusia 30 tahun itu mempunyai rekod kecederaan yang panjang dengan semua kelab yang pernah dia beraksi.
Baru-baru ini, Chanathip terlepas untuk membantu skuad kebangsaan Thailand beraksi di Piala Asia 2023 kerana mengalami kecederaan buku lali dan memerlukan pemerhatian rapi oleh pihak kelab.
2. Gaji yang tinggi
Nilai pasaran semasa Chanathip kini mencecah lebih RM5 juta sekali gus menjadi antara pemain termahal di rantau Asia Tenggara.
Pemain yang kini sedang beraksi dengan BG Pathum United itu baru menyertai kelab tersebut pada tahun lepas selepas jarang mendapat tempat dalam Kawasaki Frontale.
Jika Selangor berhajat ingin mendapatkannya secara tetap ia akan memberi bebanan pada kantung kewangan pasukan selepas jadual Liga M musim depan lebih panjang berbanding edisi sebelum-sebelum ini.
Jalan penyelesaian yang baik mendapatkan khidmat Chanathip secara pinjaman namun ia agak sukar buat BG Pathum United untuk melepaskannya kerana dia merupakan tonggak utama pasukan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram