[VIDEO] Hector Bidoglio sah kendali JDT, kelibat TCH ke SSI 'tuntut ilmu' untuk ACL2


  • Podium
  • Jumaat, 29 Dis 2023

Bidoglio membawa JDT menjadi juara dalam Liga Super Malaysia, Piala Malaysia dan Piala FA pada tahun lepas. — Facebook/JDT

JOHOR Darul Takzim (JDT) mengesahkan bahawa Hector Bidoglio kini disahkan kembali mengendalikan Harimau Selatan bagi menggantikan Esteban Solari yang baru sahaja digugurkan daripada perancangan pasukan berkenaan pada musim depan.

Pengguguran pengendali kelahiran Argentina berkenaan dengan beberapa pemain JDT seperti S. Kunanlan, Ahmad Hazwan Bakri, Adam Nor Azlin, Leandro Velazquez dan Diogo Luis Santo difahamkan kerana ingin mengurangkan perbelanjaan bagi saingan musim 2024.

Bidoglio bukanlah nama asing untuk skuad JDT berikutan sebelum ini beliau merupakan pengarah teknikal Harimau Selatan dan pernah menjadi ketua jurulatih pasukan pada musim 2022 sebelum tempatnya digantikan dengan Solari.

Berita berkenaan diumumkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JDT, Alistair Edwards menerusi laman rasmi Facebook kelab berkenaan pada Jumaat.

WhatsApp Image 2023-12-29 at 16.59.44

Solari menyertai JDT pada awal musim 2023. — Facebook/JDT

“Beliau akan dibantu oleh Pablo Ricchetti, yang juga penolong jurulatih musim lepas, dan penolong jurulatih baharu dari Argentina selain beberapa jurulatih termasuk kakitangan kecergasan dan perubatan yang akan menyertai kelab pada musim hadapan. Aidil Zafuan Abd Radzak juga akan menyertai barisan kejurulatihan Hector.

“Hector pernah berkhidmat seketika sebagai ketua jurulatih JDT dari Julai hingga November 2022 sebelum menjadi Pengarah Teknikal JDT. Beliau telah membimbing Harimau Selatan menjadi juara dalam Liga Super Malaysia, Piala Malaysia dan Piala FA pada tahun lepas.

“Hector memulakan karier kejurulatihan dengan kelab Argentina, Newell's Old Boys. Beliau sebelum ini pernah menjadi jurulatih dalam divisyen teratas di Argentina, Peru dan Ecuador.

“Beliau juga pernah bersama beberapa kelab Sepanyol seperti Real Madrid, Barcelona, Sevilla dan Real Betis, dan telah berguru dengan pengurus terkenal Marcelo Bielsa ketika bersama-sama pasukan kebangsaan Chile pada 2009,” katanya.

Pengumuman rasmi dari JDT itu sekali gus menafikan dakwaan segelintir penyokong yang mengaitkan ketua jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe dengan Harimau Selatan dan akan meninggalkan Gergasi Merah pada musim depan.

Desas-desus Cheng Hoe ke JDT semakin menjadi bualan penyokong apabila kelibatnya dilihat ketika perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) menentang BG Pathum United di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 12 Disember lalu.

Sekali pun video yang dimuat naik penyokong JDT, Jack itu adalah Cheng Hoe, kehadiran bekas pengendali skuad kebangsaan itu di SSI pastinya adalah untuk menuntut ilmu dengan barisan kejurulatihan Harimau Selatan bagi persediaan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).

Selepas menewaskan KEDAH Darul Aman (KDA) FC dalam perebutan menjadi naib juara Liga Super, Gergasi Merah disahkan mendapat slot untuk beraksi ke kejohanan ACL2 bagi saingan musim depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram