MUSIM 2023 jelas menunjukkan anjakan paradigma buat pasukan Liga Malaysia (Liga M) sekali gus berhasil membawa nama Malaysia terukir indah di pentas Asia selepas tiga kelab negara menunjukkan kehebatan pasukan masing-masing.
Prestasi cemerlang yang ditampilkan oleh Johor Darul Takzim (JDT), Sabah FC dan Terengganu FC di pentas Asia pastinya akan menjadi ingatan penyokong tanah air sekali gus menjadi buah mulut pada masa akan datang.
Ketiga-tiga kelab Liga Malaysia (Liga M) tersebut berjaya merakam pencapaian yang boleh dibanggakan khususnya buat pasukan Sabah FC yang mencipta kejutan apabila mengungguli Kumpulan H sekali gus menjadi pasukan negara yang berjaya mara ke pusingan separuh akhir Zon ASEAN Piala AFC.
Ketiga-tiga wakil kelab negara cemerlang pada aksi keempat peringkat kumpulan masing-masing. — Facebook/Pencintabolasepakmalaysia
Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee satu-satunya pasukan yang berjaya melepasi peringkat saingan kumpulan apabila meraih 12 mata menewaskan wakil kelab Singapura, Hougang United, wakil Vietnam, Haiphong FC dan wakil kelab Indonesia, PSM Makassar.
Dalam enam perlawanan berlangsung, Sang Badak mencipta empat kemenangan dan dua kali kalah.
Berbeza pula cerita di kem Johor Darul Takzim (JDT), Harimau Selatan tidak berjaya melangkah ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC (ACL) apabila badi kekalahan kepada pasukan Jepun dan Korea Selatan terus menghantui JDT.
Meskipun gagal ke pusingan seterusnya, JDT buktikan bahawa kelab Harimau Selatan mampu bersaing dengan pasukan gergasi Asia. — Facebook/JDT
JDT yang berada dalam Kumpulan I saingan Piala ACL dilihat menempuhi laluan sukar kerana perlu berdepan dengan pasukan gergasi seperti Kawasaki Frontale, Ulsan Hyundai dan BG Pathum United.
Meskipun gagal melangkah ke peringkat seterusnya, JDT berjaya menampilkan aksi cukup hebat apabila mampu mengharungi saingan yang hebat daripada pasukan gergasi Asia.
Bukan sahaja dua kelab tersebut berjaya membuat sejarah sendiri, pasukan yang berpangkalan di Pantai Timur, Terengganu FC turut mencipta rekod sendiri.
Skuad Sang Penyu cipta sejarah sendiri selepas memegang rekod tanpa kalah dalam saingan Piala AFC. — Facebook/Terengganufc
Ia berikutan selepas enam perlawanan berlangsung, Sang Penyu yang diundi bersama Central Coast Mariners, Bali United dan Stallions Laguna berjaya mencipta rekod tanpa kalah dalam saingan Piala AFC tersebut.
Ia sekali gus menyaksikan skuad kendalian Tomislav Steinbruckner berjaya menghuni tangga kedua Kumpulan G walaupun gagal mara ke pusingan kalah mati Zon ASEAN AFC.
Dalam saingan tersebut, Sang Penyu mengumpul 12 mata selepas meraih tiga kemenangan dan tiga kali seri.
Begitulah pencapaian yang dapat diterjemahkan oleh wakil ketiga-tiga kelab negara tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram