SKUAD Harimau Malaya menempah misi sukar untuk lolos ke pusingan 16 terakhir Piala Asia 2023 apabila tewas 0-4 kepada Jordan dalam aksi pembukaan kempen Kumpulan E di Stadium Al Janoub.
Pintu gol Harimau Malaya gagal dikawal dengan kemas oleh benteng terakhir negara, Ahmad Syihan Hazmi yang hanya mampu melihat gawang skuad kebangsaan dibolosi sebanyak empat kali.
Berikutan kekalahan besar tersebut, nama bekas pemain kebangsaan, Baddrol Bakhtiar menjadi sasaran oleh laman troll walaupun sudah tidak beraksi lagi dalam kancah bola sepak.
Baddrol yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kedah bagi kawasan Gurun, tetap terpalit dengan kontroversi berkenaan kekalahan skuad kebangsaan itu.
“Baddrol ada taktikal rahsia untuk Harimau Malaya menang Piala Asia. ‘Kalau nak tahu, kena menang dulu',” tulis satu siaran.
“Baddrol kecewa dengan persembahan Harimau Malaya pada pagi Selasa. ‘Kalau yang main semua Melayu Islam, boleh menang’,” kata satu lagi siaran oleh laman tersebut.
BACA LAGI: Difitnah laman ‘troll’, Baddrol Bakhtiar mahu ambil tindakan undang-undang
Menyedari perkara tersebut, Baddrol secara terbuka mahu laman tersebut memadam siaran terbabit atau berpotensi untuk berdepan tindakan undang-undang.
Hal ini kerana, siaran tersebut adalah berbaur fitnah kata bekas pemain Kedah Darul Aman FC dan Sabah FC itu.
“Fitnah! Saya menafikan sekeras-kerasnya sebarang kenyataan seperti mana didakwa dan ditularkan oleh dalam laman HarakatDaily.
“Sila padam siaran tersebut segera!! Jika tidak, tindakan undang-undang akan menyusul atas fitnah ini,” kata Baddrol dalam kenyataan di laman media Instagram miliknya.
Meskipun sudah diberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang, nampaknya laman tersebut hanya mengendahkan kenyataan tersebut.
Nampaknya, laman tersebut tidak mengambil serius berkenaan tindakan undang-undang yang akan dikenakan kepada mereka.
Berdasarkan pemantauan Majoriti, jika melihat kepada troll di laman di Facebook, siaran tersebut belum dipadam setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram