ZAMAN kini, seperti sudah menjadi amalan biasa apabila perbuatan troll dilakukan terhadap satu-satu pihak.
Ia tidak berlaku di dalam kancah bola sepak sahaja, tetapi perbuatan tersebut sudah ada di mana-mana. Ada masanya, perbuatan tersebut melampaui batas dan tidak berasas.
Itu yang terjadi kepada bekas pemain kebangsaan, Baddrol Bakhtiar yang menjadi sasaran oleh laman troll walaupun sudah tidak beraksi lagi.
Kini menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kedah bagi kawasan Gurun, tetap tidak menghalang Baddrol daripada menjadi sasaran troll berkenaan bola sepak.
Baru-baru ini, selepas kekalahan 0-4 Malaysia kepada Jordan di Piala Asia 2023, sebuah laman troll telah mengenakan Baddrol.
“Baddrol ada taktikal rahsia untuk Harimau Malaya menang Piala Asia. ‘Kalau nak tahu, kena menang dulu,’ ujarnya bersahaja,” tulis satu siaran.
“Baddrol kecewa dengan persembahan Harimau Malaya pada pagi Selasa. ‘Kalau yang main semua Melayu Islam, boleh menang’, ujarnya,” kata satu lagi siaran oleh laman tersebut.
BACA LAGI: Umpama deja-vu, 'kehilangan' Morales antara 3 momen Piala Asia hantui Harimau Malaya
Menyedari perkara tersebut, Baddrol secara terbuka mahu laman tersebut memadam siaran terbabit atau berdepan potensi tindakan undang-undang.
Hal ini kerana, siaran tersebut adalah berbaur fitnah kata bekas pemain Kedah Darul Aman FC dan Sabah FC itu.
“Fitnah! Saya menafikan sekeras-kerasnya sebarang kenyataan seperti mana didakwa dan ditularkan oleh dalam laman HarakatDaily.
“Sila padam siaran tersebut segera!! Jika tidak, tindakan undang-undang akan menyusul atas fitnah ini,” kata Baddrol dalam kenyataan di laman media sosialnya.
Ketika masih bermain, Baddrol melakukan 58 penampilan untuk Harimau Malaya dengan menyumbat enam gol. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram