DEBARAN kian terasa buat peminat bola sepak negara apabila hanya berbaki kira-kira empat hari sebelum aksi Piala Asia buat Harimau Malaya membuka tirainya.
Meskipun persiapan cukup rapi sudah dibuat, tekanan hebat masih dirasai melihat kepada tiga pasukan yang bakal dihadapi, iaitu Jordan, Bahrain dan pemenang dua edisi kejohanan, Korea Selatan.
Jurang hebat antara skuad kebangsaan dengan ketiga-tiga negara itu juga menambah cabaran dengan perbezaan kualiti bakal memainkan peranan penting dari segi fizikal serta mental.
Bagaimanapun, untuk memastikan persiapan berada di tahap terbaik, pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon memilih untuk mengadakan aksi persahabatan tertutup menentang Syria Isnin lalu.
Perlawanan yang berakhir dengan keputusan seri 2-2 itu sedikit sebanyak memberi ruang buat skuad kebangsaan membuat penilaian terhadap keupayaan sebenar mereka.
Pekan melihat tiada sebab bagi orang ramai membuat penilaian terhadap aksi persahabatan itu.
Namun, sesetengah pihak berasakan kemenangan sepatutnya diraih dalam pertembungan terbabit, lebih-lebih lagi apabila Harimau Malaya berada di hadapan memasuki minit ke-70 permainan.
Tetapi, bagi penganalisis bola sepak, Datuk Dr Pekan Ramli, perlawanan menentang negara di kedudukan ke-91 dunia itu tidak boleh menjadi kayu ukuran sebenar mengenai prestasi skuad kebangsaan.
"Pendapat saya, perlawanan pemanas badan atau persahabatan antara Malaysia dan Syria, kita tidak boleh nak jadikan ia sebagai satu sandaran yang kukuh.
"Bukan tak boleh nak jadikan sandaran, boleh tapi memandangkan kejohanan semakin nak dekat, kita tak boleh kata keputusan itu adalah satu keputusan yang kata kita sudah cukup bersedia nak menentang Jordan," katanya kepada Majoriti.
Perlawanan terbabit menyaksikan skuad kebangsaan menjaringkan dua gol menerusi Arif Aiman Hanapi dan Paulo Josue sementara Syria mencatat jaringan menerusi Pablo Sabbag dan Ibrahim Hesar.
Pemain negara kini sedang fokus melakukan persiapan untuk aksi Piala Asia. — Facebook/FAM
Aksi yang diadakan secara tertutup itu bagaimanapun tidak memberi sebarang impak terhadap kedudukan negara dalam ranking FIFA kerana ia diadakan di luar kalendar.
Dalam pada itu, Pekan berkata, tiada sebab untuk pemain negara beraksi secara habis-habisan ketika berdepan Syria dalam usaha mengurangkan risiko kecederaan.
"Mana ada pemain yang nak main sehabis baik atau 100 peratus dalam aksi persahabatan, pasti pemain nak lindungi diri mereka juga dari kecederaan serius sebelum perlawanan sebenar.
"Kalau nak buat bentesan pun, mesti bukan sepenuhnya kan dan pasti pemain mahu melindungi diri mereka daripada mengalami kecederaan yang serius sebelum perlawanan sebenar," jelasnya.
Berdasarkan jadual dikeluarkan, skuad kebangsaan bakal berdepan Jordan dalam aksi pembukaan pada awal pagi Selasa depan di Stadium al-Janoub, Qatar sebelum bertemu Bahrain empat hari kemudian di Stadium Jassim bin Hamid.
Aksi penutup Kumpulan E bakal menyaksikan skuad kendalian Pan-gon berdepan Korea Selatan dengan harapan ramai 'ekor Harimau Malaya' pastinya mahu melihat pasukan negara layak ke peringkat seterusnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram