[VIDEO] Sokongan ala ultras gadis-gadis TKC curi perhatian netizen Indonesia


  • Podium
  • Selasa, 16 Jan 2024

Para pelajar TKC menghidupkan corak sokongan seperti Ultras Malaya di sekolah mereka.

BUDAYA sokongan yang ditonjolkan di negara kita semakin lama, semakin berkembang dengan baik.

Pengaruh yang ditonjolkan oleh gerakan Ultras Malaya dalam menzahirkan sokongan buat pasukan kebangsaan berjaya tersebar kepada semua pihak.

Bermula dengan gerakan ultras-ultras kelab Liga Super, ia bercambah kepada kumpulan penyokong di liga amatur dan kini pasukan sekolah pula.

Siulan sorakan atau chant yang mudah diiikuti dan semakin popular membuatkan pelbagai pihak mula memberikan sokongan setiap kali ada acara sukan diadakan.

Sebelum ini, telah tular video sekumpulan pelajar sekolah perempuan menzahirkan sokongan padu kepada pasukan mereka dengan menggunakan rentak Ultras Malaya.

Video tersebut kemudiannya berjaya sampai ke negara jiran iaitu Indonesia dan mendapat reaksi cukup positif di sana terutamanya platform Instagram.

Dalam video tersebut, sekumpulan pelajar tersebut dipercayai dari sebuah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) iaitu Kolej Tunku Kurshiah (TKC), Negeri Sembilan.

Usaha para pelajar sekolah tersebut menzahirkan sokongan jelas diterima baik oleh warganet negara jiran.

"Walaupun mereka perempuan, tapi ia tidak menghalang mereka untuk menyokong pasukan kebanggaan mereka," kata akaun Indonesia Football Firm.

"Suara (dari) perutnya begitu hebat," ujar penyokong bernama Ranggi.

"Gaya sorakan seperti Boys of Straits, JDT," komen Bio Bamba pula.

BACA LAGI: Fans Indonesia 'claim' lagu Kopi Dangdut popular sampai Venezuela tapi tak tahu fakta sebenar

1F60DDAF-94B3-4B2F-BCD9-5BEAA72D7E2C

Sorakan pelajar-pelajar Kolej Tunku Kurshiah menarik perhatian wargenet Indonesia.

Malah, ada juga yang mengatakan sorakan yang ditonjolkan itu lebih baik berbanding sesetengah kelab penyokong di Indonesia.

"Bahaya macam ni, kalau mereka ada di stadium nanti pemain boleh hilang fokus," komen penyokong bernama Baon Schatzi.

"Ketukan dram mereka lebih sedap didengar berbanding sesetengah penyokong kelab Indonesia," kata Ade Heriyawan pula.

Perkembangan tersebut dilihat cukup positif kerana ia membuatkan budaya sokongan sebegini semakin berkembang di negara kita.

Malah bukan saja berkembang, tetapi mendapat perhatian dan penghargaan oleh negara jiran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram