BERKAT pengalaman beraksi di Liga Malaysia (Liga M) membantu dua pemain Jordan, Mahmoud Al-Mardi Al-Mardi dan Yazan Al-Arab menjadi duri dalam daging skuad kebangsaan apabila membantu pasukan mereka menang 4-0 di Stadium Al Janoub, Doha, Qatar pada Selasa.
Bekas tonggak tengah Kedah Darul Aman (KDA) FC, Mahmoud Al-Mardi meletakkan Jordan di hadapan setelah 12 minit perlawanan dan menambah derita kem Harimau Malaya dengan meledak jaringan kedua peribadinya pada minit ke-32.
Susulan prestasi memukau pada babak pertama perlawanan berkenaan, Al-Mardi yang kini berusia 30 tahun itu diseru kembali penyokong Sang Kenari dengan rata-rata mereka percaya gerakannya mampu membantu skuad Hijau Kuning pada musim ini.
Al-Mardi bagaimanapun menyatakan hasrat untuk bergandingan dengan bekas pengendalinya, Aidil Sharin Sahak yang kini bersama Kuching City dan sekali gus dia memberi bayangan untuk kembali ke Liga M.
Harapan pemain Al Hussein SC itu dikongsikan oleh pemerhati sukan, Zulhelmi Zainal Azam menerusi laman X peribadinya pada Selasa.
"Pengalaman beraksi di Liga Malaysia bantu saya jaringkan gol. Mahmoud Al-Mardi beri bayangan kembali ke Liga Malaysia, difahamkan mahu bergandingan semula bersama coach Aidil Sharin," katanya.
Al-Mardi mencatatkan sembilan jaringan serta tujuh bantuan jaringan sepanjang 19 penampilan dalam kesemua pertandingan buat Kedah dua tahun lalu. — Facebook/Jordan
Dalam perkembangan berlainan, bekas tonggak Selangor, Yazan secara terbuka meminta maaf kepada semua penyokong bola sepak tanah air susulan insidennya menendang pengadil Liga M, Mohd Hasrol Mohd Amir.
Memetik ciapan dari Zulhelmi, Yazan mengakui tidak mempunyai niat untuk membalas dendam terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) susulan ramai penyokong membuat spekulasi aksi cemerlangnya disebabkan isu tendang pengadil sebelum ini.
Kontrak pemain berusia 28 tahun berkenaan ditamatkan oleh Selangor FC dan bek tengah itu juga dikenakan penggantungan seumur hidup daripada sebarang aktiviti bola sepak dalam negara.
Walaupun Yazan difahamkan tidak beraksi selama tiga bulan selepas disingkirkan Gergasi Merah namun dia yang kini bersama kelab Iraq, Al Shorta SC itu kemas memastikan pertahanan Jordan sukar ditembusi Malaysia.
"Saya tahu apa yang terjadi dulu adalah salah. Saya ingin meminta maaf kepada semua. InshaaALLAH di masa depan mereka akan beri saya peluang untuk beraksi di Liga M," katanya memetik ciapan Zulhelmi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram