KELAB Thailand, Chonburi FC telah merekrut seorang lagi bekas penyerang Liga Super untuk menguatkan lagi barisan serangan mereka musim ini.
Kelab tersebut berjaya mendapatkan bekas pemain Selangor FC, iaitu Herlison Caion untuk menguatkan lagi cabaran mereka pada pusingan kedua Thai League.
Selain Selangor, Caion turut pernah beraksi untuk Kuala Lumpur City FC.
Dengan kehadiran Caion ke ke Chonburi, ia memastikan gandingan dua bekas penyerang Liga Super dalam misi kelab Thailand itu keluar daripada kelompok penyingkiran.
Ini kerana, Caion akan bergandingan dengan bekas penyerang Kedah Darul Aman FC iaitu Willian Lira yang kini telah mengumpul tujuh gol serta satu bantuan gol dalam 15 perlawanan liga.
BACA LAGI: Bintang Piala Asia Oman sesuai ganti Ayron di Selangor, jadi rebutan kelab Liga Super
Dengan ketajaman yang ada pada Caion sebagai penyerang, kedua-dua pemain tersebut dilihat mampu untuk membantu Chonburi keluar daripada kelompok bawahan sekali gus mendaki carta liga.
Untuk rekod, Caion beraksi baik bersama-sama Selangor apabila menghasilkan 24 gol serta tujuh bantuan gol dalam 33 perlawanan untuk Gergasi Merah.
Caion juga boleh membalas jasa kelab tersebut yang mendapatkannya dengan memberikan persembahan cemerlang pada tempoh keduanya bersama-sama Chonburi.
Sebelum ini, Caion pernah bersama Chonburi pada musim 2018/2019 dengan penyerang dari Brazil itu menghasilkan 14 gol dan 3 bantuan jaringan sebelum berpindah ke Suphanburi FC.
Buat masa sekarang, Chonburi menduduki tangga kedua terakhir carta Thai League dengan mereka cuma mengutip tiga kemenangan, lima seri dan tujuh kekalahan daripada 15 perlawanan.
Ia juga membuatkan Chonburi hanya mempunyai 14 mata dengan terdapat perbezaan jaringan iaitu -8.
Oleh itu, tidak hairan jika Chonburi memilih untuk mendapatkan penyerang baharu. Dengan Caion yang terbukti berkesan di pintu gol sambil sudah arif dengan bola sepak Thailand, kehadirannya pasti akan menguatkan cabaran mereka untuk mencari kemenangan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram