[VIDEO] Tak dapat tidur, terpaksa kongsi sepinggan nasi antara kenangan pahit tonggak Kelantan FC


  • Podium
  • Rabu, 17 Jan 2024

Skuad TRW mengalami isu cukup buruk di luar padang sepanjang musim lalu sehingga memberi kesan terhadap persembahan mereka. — Facebook/TRW Kelantan FC

MUSIM lalu pastinya salah satu musim yang mahu dilupakan buat Kelantan FC serta penyokongnya kerana pasukan terbabit berada di kedudukan tercorot Liga Super.

Tahun yang menyaksikan mereka memecahkan rekod dibolosi dalam sejarah divisyen teratas bola sepak tempatan apabila melepaskan sejumlah 121 gol sepanjang 26 perlawanan.

Beberapa kekalahan memalukan turut dialami skuad The Red Warriors (TRW) sepanjang musim, termasuk ketika mereka tewas 0-10 di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi Piala Malaysia serta 2-11 ketika berdepan Selangor FC dalam Liga Super.

BACA LAGI: Nurshamil dedah TRW minta RM50,000 jika ingin keluar kelab, 3 individu turut jadi mangsa Norizam

Prestasi buruk itu dikatakan berpunca daripada isu pengurusan yang menyaksikan pemain serta staf kejurulatihan tidak menerima bayaran gaji untuk beberapa bulan.

Meskipun sudah didesak, pemilik kelab, Norizam Tukiman seperti masih enggan mencari jalan penyelesaian untuk mengembalikan kelab Pantai Timur itu di jalan sebenar.

Bagaimanapun, ramai tidak mengetahui situasi sebenar di sebalik tabir mengenai nasib yang menimpa pemain skuad TRW berikutan sikap culas pihak pengurusan sepanjang musim.

Tampil menceritakan mengenai hal itu ialah penjaga gol muda, Irfan Haikal Iffendi dalam satu sesi temu bual bersama wartawan ternama, Zulhelmi Zainal Azam yang disiarkan di laman YouTube Astro Arena.

"Pengalaman yang paling tidak boleh dilupakan adalah apabila saya bersama rakan baik dan sebilik, Leonardo Rolon tidak mempunyai wang pada suatu hari dengan hanya kira-kira RM9 dimiliki kami.

"Saya berbincang dengan dia sebelum saya pergi ke kedai dan membeli makanan. Jadi, dengan duit tidak mencukupi, saya hanya beli nasi sebungkus dan kongsi bersamanya," ujar pemain berkenaan dengan perasaan sebak.

Menurutnya, terdapat percubaan daripada pemain import Argentina itu untuk menolak perlawanannya, namun ketegasan Irfan membuatkan masing-masing hiba mengenang nasib ketika menjamu selera.

WhatsApp Image 2024-01-17 at 12.41.27

Irfan Haikal mengumpul 13 penampilan secara keseluruhan buat skuad TRW. Facebook/TRW Kelantan FC

Bekas penjaga gol Bawah 23 Tahun (B-23) itu sebelum ini pernah beraksi dalam skuad Piala MFL Kelantan FC sebelum diserap ke dalam skuad senior berikutan keputusan beberapa pemain yang meninggalkan kelab berkenaan.

Sepanjang 13 penampilan yang direkodkannya bersama pasukan utama, Irfan hanya mencatatkan satu clean sheet, iaitu ketika pasukannya itu meraih kemenangan 2-0 ke atas Negeri Sembilan FC pada Ogos.

Namun, masih terdapat kenangan perit perlu dialami bekas pemain Imigresen FC berkenaan yang mendedahkan kekalahan 2-11 di tangan skuad Gergasi Merah menghantui kariernya.

"(Selepas perlawanan itu), satu hari saya tidak dapat tidur. Saya baring sambil meletakkan tangan di kepala dan mengenang perjalanan untuk bergelar seorang pemain bola sepak," katanya.

Ketika ini, usaha Kelantan FC untuk beraksi dalam Liga Super musim depan berdepan cabaran apabila mereka dilaporkan masih belum menerima lesen kebangsaan daripada pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Sekiranya gagal dalam melakukan rayuan, skuad TRW terpaksa beraksi di Liga M3 dengan situasi terbabit pastinya menyebabkan lebih ramai pemain meninggalkan pasukan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram