SATU ketika dahulu, Kelantan FC boleh dianggap sebagai salah sebuah pasukan terbaik dalam arena bola sepak tanah air sehingga cukup digeruni setiap lawan yang dihadapi mereka.
Pasukan yang dibarisi anak jati negeri Pantai Timur itu menemui kemuncaknya pada tahun 2012 apabila mudah 'menyapu bersih' tiga kejohanan di peringkat domestik.
Kejayaan berkenaan meletakkan skuad The Red Warriors (TRW) sebagai salah sebuah kelab terbaik pernah disaksikan dalam sejarah negara dengan ramai berasakan momen itu tidak akan dapat lagi diulangi.
Bagaimanapun, untuk mengubati kerinduan beraksi bersama-sama, sebahagian besar bekas pemain Kelantan sering mengadakan aksi persahabatan berdepan mana-mana pasukan amatur.
Baru-baru ini, mereka hadir mengadakan satu perlawanan amal yang memberi peluang kepada penyokong untuk melihat skuad 'treble' 2012 kembali mempamerkan aksi masing-masing.
Dari kiri: Nor Farhan, Badhri dan Indra merupakan antara bekas pemain yang hadir memeriahkan perlawanan. — Facebook/Kelantan Pride and Soul
Antara yang hadir memeriahkannya ialah bekas kapten Kelantan FA, Badhri Radzi serta tonggak Kelantan United, Indra Putra Mahayuddin yang masing-masing memainkan peranan penting sepanjang beberapa tahun bersama skuad TRW.
Foto itu kemudiannya dikongsikan di laman media sosial Kelantan Pride and Soul dengan ruangan komen dibanjiri luahan ramai yang sebak melihat wira mereka satu ketika dahulu.
"Bawa balik pasukan ni ke dalam Liga Super dan hidupkannya kembali. Tidak salah walaupun umur sudah meningkat. Kita jadikan sebuah kebangkitan zaman era tiga piala," kata Putra Sulong Abah.
"Kalau pemain ni dikumpulkan dan bina sebuah pasukan, rasanya boleh sertai Liga Super musim depan. Dalam liga, paling teruk pun rasanya boleh duduki kelompok lima teratas," ujar Khairul Azhar.
Apek merupakan salah seorang watak utama ketika Kelantan FA meraih gelaran treble lebih 10 tahun lalu. — Agensi
Bagaimanapun, ada di antara mereka yang mempersoalkan ketiadaan bekas penjaga gol Kelantan FA, Khairul Fahmi Che Mat yang sememangnya cukup disegani dalam kalangan penyokong skuad TRW.
"Mana Apek (Khairul Fahmi)? Kalau dia ada, boleh dianggap cukup dah skuad treble ni," kata Azhar Karim.
"Fuhh, rindu betul tengok skuad ni. Ada Indra, ada Piya (Badhri). Cuma pelik sedikit, di manakah Khairul Fahmi? Masih cedera kah?" soal Jaafar Abdul.
Untuk rekod, Khairul Fahmi kini masih aktif dalam dunia bola sepak bersama Sabah FC dengan kehadirannya membantu pasukan Borneo tersebut ke tempat ketiga Liga Super musim lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram