KEM pasukan Kelantan FC sekali lagi hangat dengan isu melibatkan kewangan selepas salah seorang pemain mendedahkan bahawa pihak pengurusan meminta RM 50,000 jika individu itu ingin menamatkan kontrak lebih awal.
Pemain itu ialah Nurshamil Abd Ghani yang dipaksa untuk membayar wang pampasan sebanyak RM50,000 meskipun majikannya tidak membuat pembayaran gaji serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Menerusi laman Instagram peribadi, Nurshamil mendedahkan Kelantan FC masih berhutang duit gaji, KWSP dan dua bonus yang dijanjikan pihak pengurusan.
Pemain berusia 28 tahun itu turut menyindir pihak pengurusan yang mahu dia membayar RM50,000 untuk menamatkan kontrak walaupun dengan cara baik.
"Serius RM50,000 kau minta? Ini bukan persetujuan bersama, ini persetujuan untuk kau sahaja.
"Minta keluar cara baik pun, ini juga dapat," katanya menerusi Insta Story pada Ahad.
Tangkap layar Insta Story Nurshamil.
Namun begitu, bukan Nurshamil seorang menjadi mangsa malah bekas jurulatih The Red Warriors (TRW), Pol Corpas serta beberapa pemain turut menjadi mangsa ugutan pihak pengurusan.
"Nurshamil, mereka buat benda sama kepada awak? Mereka juga buat benda macam itu kepada saya," kata Pol Corpas.
"Ismahil Akinade pun dah tak ada duit, dalam akaun pasukan (Kelantan) mereka kata itu adalah persetujuan bersama yang mana merupakan satu penipuan," ujar Nuha Marong.
Dalam pada itu, salah seorang individu dipercayai ejen kepada Nik Akif Syahiran dan Shahrul Nizam turut meninggalkan komen dalam ruangan Instagram itu.
"RM33,000 Nik Akif dan Shahrul Nizam bayar atau tak kena 'transfer ban'," jelas Joe Berbatov.
Krisis yang berlaku dalam pasukan antara pihak pengurusan dan pemain dikhabarkan menjadi punca utama mengapa ramai pemain khususnya pemain import memutuskan untuk meninggalkan kelab dari Pantai Timur itu.
Kelantan ketika ini menduduki tangga tercorot dalam carta Liga Super yang mana mereka hanya mampu mengutip empat mata selepas mengharungi 14 perlawanan liga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram