SEPANJANG jendela perpindahan kali ini, banyak pasukan Liga Super seperti sedang sibuk mencari pemain baharu dalam usaha meningkatkan kualiti skuad bagi musim depan.
Bagaimanapun, ada dalam kalangan mereka yang juga membuat perancangan dalam mendapatkan khidmat ketua jurulatih baharu bagi menggantikan pengendali sedia ada.
Perubahan tersebut boleh diambil berikutan kedudukan pasukan yang corot musim lalu sehingga pihak pengurusan berasakan sasaran ditetapkan mereka tidak dicapai.
BACA LAGI: Azzmi Aziz masih tertanya punca dipecat mengejut
Pilihan utama yang pastinya ditekankan kelab Liga Super ialah jurulatih tempatan berpengalaman kerana mereka lebih memahami kebolehan pemain tempatan.
Ketika ini, antara nama yang sedang hangat diperhatikan semestinya bekas pengendali PDRM FC, Azzmi Aziz yang tidak terikat dengan mana-mana pasukan ketika ini.
Pengalaman serta sentuhan K Devan ditagih skuad Hang Tuah musim depan. — Facebook/Negeri Sembilan FC
Selepas digugurkan skuad Sang Saka Biru, jurulatih berusia 48 tahun berkenaan pernah disebut-sebut bakal kembali ke Liga Super, namun ia hanya berstatus khabar angin.
Berdasarkan laporan media, Negeri Sembilan FC merupakan destinasi terbaik buat Azzmi selepas khabar angin mengatakan pengendali semasa, K Devan bakal membimbing Melaka FC musim depan.
Namun, perkara itu masih tidak terjawab dengan hanya kemasukan skuad Hang Tuah ke Liga Super 2024/25 mampu memancing jurulatih berpengalaman itu.
Jadi, situasi 'tarik-tali' berkenaan membolehkan pasukan tempatan lain cuba mendapatkan khidmat Azzmi sekiranya dirasakan rombakan besar-besaran perlu dibuat.
Penang FC yang masih belum mengumumkan pengganti kekal kepada Chong Yee Fatt merupakan salah satu pilihan buatnya dengan pengalamannya sebagai jurulatih di Utara tanah air bersama Kedah FA mampu mendorong hal itu.
Kelantan United serta Kelantan FC masih belum memiliki pengendali tetap ketika ini. — Facebook/MFL
Meskipun prestasi Akmal Rizal Ahmad Rakhli sebagai pengendali sementara ketika ini cukup baik, ketiadaan pengumuman rasmi memberi bayangan skuad Harimau Kumbang masih mencari solusi terbaik.
Selain itu, dua kelab bergelut Liga Super, Kelantan United dan Kelantan FC juga berpeluang menyambar khidmat Azzmi jika mereka dapat menyelesaikan isu pengurusan.
Skuad Kijang Hijau yang kali terakhir dikendalikan jurulatih sementara, Nazrulerwan Makmor juga kelihatan masih mencari calon ideal untuk musim akan datang.
Keputusan melantik dua pembimbing import, Tomas Trucha serta Ailton Silva seperti tidak membuahkan hasil kerana mereka hanya menduduki tangga ke-12 musim lalu.
Bagi skuad The Red Warriors (TRW) pula, ia pasti menjadi satu cabaran sekiranya mereka mahu mendapatkan Azzmi akibat isu pengurusan dan tunggakan gaji dialami pasukan itu sepanjang 2023.
Di samping itu, kegagalan mendapatkan lesen kebangsaan untuk beraksi dalam Liga Super 2024/25 seperti menutup harapan mendapatkan bekas pengendali PDRM FC itu yang pastinya bercita-cita tinggi musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram