PERSEMBAHAN gopoh daripada anak-anak buah Kim Pan-gon dalam aksi pembukaan Piala Asia 2023 berdepan Jordan pada Selasa menyaksikan skuad kebangsaan pulang dengan tangan kosong apabila tumpas 0-4.
Mahmoud al-Mardi dan Musa al-Taamri yang masing-masing menjaringkan dua gol memastikan kekalahan buat Harimau Malaya dalam aksi yang berlangsung di Stadium al-Janoub, Qatar.
Meskipun meletakkan kesebelasan utama terbaik, kegagalan untuk menyaingi intensiti diterapkan pasukan di kedudukan ke-87 dunia tersebut membuatkan skuad kebangsaan bergelut sepanjang permainan.
Selain itu, beberapa keputusan meragukan daripada Pan-gon, terutamanya menyusun benteng pertahanan pasukan membuatkan mereka gagal menyekat serangan bertali-arus daripada Jordan.
BACA LAGI: [VIDEO] Paluan kompang meriahkan sokongan ekor Harimau Malaya di Qatar
Penyokong Harimau Malaya pastinya kecewa dengan persembahan pasukan. — Facebook/FAM
Kekalahan berkenaan pastinya sukar ditelan penyokong memandangkan perlawanan tersebut cukup dinanti-nantikan memandangkan kali terakhir Harimau Malaya beraksi di Piala Asia adalah pada 2007.
Jadi, dalam meluahkan rasa kecewa itu, rata-rata daripada mereka memilih untuk ke media sosial untuk menceritakan perasaan masing-masing di samping menyatakan harapan untuk aksi berdepan Bahrain selepas ini.
Tidak cukup dengan itu, ada juga di antara penyokong yang menyenaraikan beberapa perkara menarik dapat disaksikan sepanjang aksi berdepan Jordan tersebut berlangsung.
Meskipun ia hanya satu luahan di alam maya, perkara itu masih boleh dijadikan pendorong buat skuad kebangsaan bangkit mencipta sejarah ke peringkat kalah mati buat kali pertama.
Jadi, Majoriti menyenaraikan tiga perkara yang menjadi bahan bualan hangat penyokong bola sepak tanah air di media sosial selepas Harimau Malaya mengalami kekalahan itu.
1. Romel Morales diibaratkan Guilherme de Paula
Keputusan membawa penyerang naturalisasi baharu, Romel Morales menimbulkan persoalan memandangkan dia tidak pernah beraksi bersama skuad kebangsaan menjelang saingan Piala Asia.
Meskipun ada yang melihat kehadirannya dapat memberi dimensi baharu jentera serangan Harimau Malaya, pengalamannya yang terhad membuatkan pemain tinggi lampai berkenaan bergelut untuk beraksi di samping pemain negara.
Jadi, tidak hairanlah apabila terdapat sebahagaian penyokong berasakan tindakan Pan-gon meletakkan penyerang itu dalam senarai 26 pemain untuk ke Piala Asia 2023 seakan-akan tidak tepat.
Romel (kanan) bergelut dalam aksi debutnya bersama Harimau Malaya. — Facebook/FAM
Malah, sesetengah daripada mereka mula menyamakan tonggak Kuala Lumpur (KL) City FC itu dengan seorang lagi pemain naturalisasi negara, Guilherme de Paula.
Penyerang yang dikenali dengan keengganannya untuk mengejar pihak lawan itu pernah beberapa kali dijadikan sasaran sindiran, lebih-lebih lagi ketika beraksi buat Harimau Malaya.
Meskipun sudah tidak menyarung jersi skuad kebangsaan sejak 2022, gaya permainannya yang tidak bermaya membuatkan orang ramai sering tertanya mengenai keputusan untuk menyerapnya ke dalam pasukan negara.
Sekiranya Romel gagal membawa sebarang perubahan untuk aksi-aksi selepas ini, terdapat kemungkinan dia akan terus dibandingkan dengan De Paula yang kini beraksi bersama Melaka FC di Liga M3.
2. Arif, Faisal dan Darren Lok tidak melakukan percubaan tepat
Berdasarkan kesebelasan utama dipilih Pan-gon, formasi 3-4-3 digunakan pengendali dari Korea Selatan itu dengan ia bukanlah sesuatu yang baharu sepanjang tempoh kendaliannya.
Gandingan Romel Morales, Darren Lok dan Faisal Halim diletakkan di jentera serangan dengan Corbin Ong dan Arif Aiman Hanapi yang beraksi di posisi bek sayap mampu memberi sokongan diperlukan.
Bagaimanapun, kebuntuan skuad kebangsaan sepanjang 90 minit permainan dibuktikan apabila hanya Romel Morales mencatatkan percubaan tepat ke arah pintu gol.
Faisal (kiri) dan Arif Aiman bergelut untuk mencetuskan impak diharapkan. — Bernama
Statistik terbabit pastinya cukup merisaukan, lebih-lebih lagi bagi Darren Lok dan Faisal yang tidak melakukan sebarang percubaan sebelum dikeluarkan Pan-gon.
Secara keseluruhan, Harimau Malaya mencatatkan lapan percubaan ke arah pintu gol dengan hanya tiga daripadanya tepat ke gawang gol yang diawasi penjaga gol Jordan, Yazeed Abdulla.
Isu tersebut pastinya perlu diberikan perhatian Pan-gon dalam aksi menentang Bahrain pada Sabtu ini sekiranya mereka masih bercita-cita besar untuk layak ke peringkat seterusnya.
Antara perubahan terbaik boleh diambil adalah dengan menggugurkan mana-mana penyerang dan digantikan dengan seorang lagi pemain sayap JDT, Akhyar Rashid yang beraksi sebagai pemain gantian dalam perlawanan sebelum ini.
3. Senasib dengan Thailand dalam edisi yang lalu
Kekalahan 0-4 itu menyaksikan Harimau Malaya mengalami kekalahan terburuk setakat saingan Piala Asia kali ini selepas 10 daripada 12 aksi berlangsung sejak Sabtu lalu.
Rekod berkenaan pastinya sukar ditelan kerana skuad kebangsaan sering mengalami keputusan buruk setiap kali menyertai pertandingan itu dengan ia turut terjadi pada 2007.
Bagaimanapun, ia bukanlah satu berita buruk buat mereka memandangkan beberapa negara Asia Tenggara lain pernah memulakan kempen dengan langkah kiri dalam Piala Asia.
Thailand mengalami kekalahan 1-4 kepada Thailand pada edisi lalu. — Agensi
Contoh terbaik boleh disaksikan adalah ketika edisi yang lalu apabila Thailand membuka aksi Kumpulan A dengan kekalahan 1-4 kepada India di Stadium Al Nahyan, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Namun, langkah kiri itu segera diperbaiki skuad Gajah Perang yang berjaya melayakkan diri setelah muncul naib juara kumpulan dengan empat mata dikutip dalam tiga perlawanan.
Sekiranya skuad kebangsaan mampu bangkit daripada kekecewaan berkenaan, tiada sebab untuk mereka menamatkan saingan di peringkat kumpulan memandangkan masih terdapat dua aksi perlu ditempuhi.
Kemenangan ke atas Bahrain dan keputusan seri ketika berdepan Korea Selatan mampu membuka peluang itu dengan pasukan di tangga ketiga juga mempunyai peluang untuk layak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram