MASA semakin hampir untuk skuad kebangsaan Malaysia turun beraksi di Piala Asia 2023 bertemu Jordan.
Debaran pastinya terasa buat kita semua yang sentiasa mendukung Harimau Malaya, namun perasan teruja pastinya tidak dapat dibendung kerana Malaysia bakal beraksi menentang pasukan handalan Asia.
Para pemain Malaysia pastinya mengharapkan akan ada sokongan padu diberikan oleh ekor Harimau Malaya. Dengan sokongan yang diberikan oleh ekor Harimau Malaya, pastinya dapat menaikkan kualiti persembahan mereka.
Dan kini, suntikan semangat itu telah pun tiba apabila sekumpulan penyokong Malaysia telah tiba di Qatar untuk memberikan sorakan padu buat Harimau Malaya.
Para penyokong Harimau Malaya pastinya mahu memastikan sorakan mereka didengari di Qatar dan itulah yang mereka lakukan sebaik saja sampai di sana.
Dalam rakaman yang dikongsi oleh laman rasmi Piala Asia, penyokong Malaysia dilihat berkumpul di tempat awam berdekatan Souq Waqif, Doha dan dengan semangatnya menyanyikan lagu-lagu semangat Harimau Malaya.
BACA LAGI: Piala Asia ibarat Piala Dunia mini, anggaplah ia pentas terpenting untuk anda — Hamidin
Lazimnya, sorakan padu tersebut akan diiringi ketukan dram tetapi kali ini mereka kembali ke cara lama dengan menggunakan kompang.
Mereka dilihat melaungkan sorakan yang sering dilontarkan oleh Ultras Malaya. Selain itu, mereka juga turut menyanyikan lagu dendangan kumpulan rock, Bumiputra Rockers iaitu Dari Sinar Mata seperti dalam rakaman tular di X (Twitter).
Sorakan tersebut turut dihiasi dengan kibaran Jalur Gemilang oleh ekor Harimau Malaya menandakan cinta yang tidak terhingga terhadap pasukan kebangsaan.
Ia adalah satu pemandangan indah melihat penyokong Harimau Malaya sanggup terbang jauh demi memastikan pasukan tidak sendirian apabila turun beraksi di Piala Asia.
Walaupun bilangannya tidak ramai, tapi ekor Harimau Malaya sentiasa ada. Semoga kemenangan menjadi milik kita. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram