Cemerlang benam Harimau Malaya, khidmat Al-Mardi kembali ditagih Sang Kenari


  • Podium
  • Selasa, 16 Jan 2024

Al-Mardi (depan) kelihatan cukup puas apabila menjaringkan gol ketika berdepan Harimau Malaya. — Facebook/Jordan FA

KEGAGALAN skuad kebangsaan untuk menampilkan aksi terbaik merupakan salah satu punca Harimau Malaya mengalami kekalahan memalukan dalam perlawanan pembukaan Kumpulan E pada Selasa.

Mereka yang sering mensia-siakan peluang serta kelihatan gopoh di peringkat awal merupakan antara kesalahan utama dilakukan sehingga memberi ruang buat pihak lawan merencanakan peluang.

Bagaimanapun, kecemerlangan pasukan di tangga ke-87 dunia itu juga tidak boleh dipandang rendah kerana beberapa tonggak yang diturunkan menampilkan aksi cukup hebat.

Antara yang pastinya menjadi buah mulut orang ramai ialah pemain tengah menyerang, Mahmoud al-Mardi yang menjaringkan dua gol pada babak pertama permainan.

BACA LAGI: Idam skor setiap 'game', itu janji Al-Mardi buat penyokong Kedah

419210510_1387283848593387_7139854919043048299_n

Al-Mardi menampilkan aksi cukup baik ketika menumpaskan Harimau Malaya. Facebook/Jordan FA

Selain mudah menembusi benteng Harimau Malaya, gerakannya yang mudah mengelirukan pihak lawan juga mengangkat namanya sebagai antara pemain terbaik sepanjang perlawanan.

Perkara itu pastinya tidak mengejutkan penyokong bola sepak tanah air memandangkan al-Mardi pernah mempamerkan kualitinya dalam Liga Super bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC pada 2022.

Dia yang pernah mencatatkan hatrik ketika beraksi dalam Piala AFC sering didambakan kepulangannya oleh penyokong Hijau Kuning kerana mereka berasakan pemain Jordan terbabit mampu memainkan peranan cukup penting musim depan.

Harapan itu seakan-akan didengari pihak pengurusan kelab Utara tanah air berkenaan apabila wartawan tanah air, T Avineshwaran berkata, terdapat kemungkinan untuknya pulang ke pangkuan skuad Sang Kenari pada jendela perpindahan kali ini.

1649404

Al-Mardi memberi impak cukup hebat dalam tempoh singkatnya bersama skuad Sang Kenari. Facebook/KDA FC

"Dalam perkembangan berbeza, Kedah cukup berminat untuk kembali bergandingan dengan penyerang sayap Jordan, Mahmoud al-Mardi. Pengendali pasukan, Nafuzi Zain cukup berminat dengannya.

"Pemain berusia 30 tahun itu menjaringkan dua gol ketika berdepan Harimau Malaya. Dia kini beraksi buat Al Hussein SC yang berentap dalam saingan Liga Perdana Jordan," tulisnya.

Berita tersebut pastinya cukup menghangatkan perasaan penyokong Kedah kerana pemain terbabit mampu membantu mereka memperbaiki prestasi pada musim akan datang.

Kebolehannya untuk membuat hantaran berbahaya serta menjaringkan gol mengangkatnya sebagai antara import terbaik skuad Sang Kenari beberapa musim kebelakangan ini.

Untuk rekod, al-Mardi mencatatkan sembilan jaringan peribadi serta tujuh bantuan jaringan sepanjang meraih 19 penampilan dalam kesemua pertandingan buat Kedah dua tahun lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram