'Ramai yang hebat, tapi ada yang dulu enggan beraksi untuk negara ketika Piala AFF'


  • Podium
  • Selasa, 16 Jan 2024

Pasukan negara tewas dengan keputusan 0-4 dalam aksi pembukaan Kumpulan E di tangan Jordan pada Isnin. — Facebook/FAM

KEKALAHAN dialami skuad kebangsaan dalam aksi pembukaan Piala Asia berdepan Jordan pastinya menjadi satu tamparan hebat terhadap pemain serta staf kejurulatihan.

Meskipun sudah melakukan persiapan lebih awal, jurang kualiti kedua-dua pasukan menyaksikan pemain Harimau Malaya tidak dapat memberikan persembahan terbaik di Stadium Al-Janoub, Qatar pada Isnin.

Kealpaan benteng pertahanan menyaksikan skuad kebangsaan dibolosi sebanyak empat kali dalam perlawanan berkenaan dengan tiga daripadanya hadir pada separuh masa pertama.

Tidak cukup dengan itu, jentera serangan pasukan juga dilihat cukup kekok dalam membuat gerakan kerana terlalu kerap kehilangan bola di kawasan lawan.

Kegagalan memberikan saingan itu pastinya cukup mengecewakan kerana skuad kebangsaan kali ini mempunyai lambakan pemain naturalisasi dan warisan di setiap posisi.

419406672_1078819113191324_8382481401505239223_n

Kekalahan itu pastinya sukar diterima penyokong Harimau Malaya. Facebook/FAM

Bagi mereka, kehadiran mereka ditambah pemain terbaik yang dipanggil sepatutnya menjadi senjata ampuh Kim Pan-gon dalam perlawanan itu, namun kehampaan dipamerkan selepas mereka mengalami kekalahan buruk terbabit.

Tampil menyatakan hal itu ialah seorang pengguna Facebook, Sharell Eizwan yang berpendapat adalah lebih baik sekiranya skuad kebangsaan dibarisi pemain yang mempunyai semangat berkobar-kobar untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

"Kalau lupa, sini aku ingatkan, Pemain-pemain yang kau sokong atas padang sekarang ni, kebanyakannya pernah menolak panggilan negara waktu kejohanan AFF tahun lepas.

"Kebanyakannya memilih, tak mahu main kejohanan luar kalendar FIFA. Apa Pan-gon buat? Tidak mengapa kerana dia tabah pilih pemain lain yang betul-betul nak main untuk negara bawa ke AFF.

"Mereka tak kisah sama ada luar kalendar ke, kejohanan kecil ke, yang penting mereka nak berjuang untuk negara. Paling penting, apabila dipanggil, mereka turun, mereka main," katanya.

Malaysia-

Skuad kebangsaan beraksi cukup baik dalam saingan Piala AFF 2022. Facebook/FAM

Berdasarkan rekod ketika saingan Piala AFF sebelum ini, jurulatih kelahiran Korea Selatan itu menimpa satu tamparan hebat apabila pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) memilih untuk tidak mewakili negara.

Namun, semangat serta sentuhan yang dipamerkannya menyaksikan pasukan kebangsaan ketika itu melayakkan diri ke peringkat separuh akhir sebelum disingkirkan Thailand.

Jelas Sharell lagi, ia merupakan faktor utama buatnya menolak peluang memberi sokongan kerana berasakan tidak semua daripada skuad yang dipanggil mempunyai jiwa untuk mewakili Harimau Malaya.

Pandangannya itu disokong rata-rata penyokong skuad kebangsaan yang berpendapat skuad kendalian Pan-gon sepatutnya dibarisi pemain dengan semangat juang lebih hebat.

420070119_1078819769857925_6860672604068704764_n

Pan-gon perlu mencari jalan penyelesaian untuk membawa perubahan kepada skuad kebangsaan. Facebook/FAM

"Terlalu dijulang pasukan ini, tidak nampak di manakah kekuatan mereka. Dalam liga tempatan mungkinlah, tidak boleh berlatih pun boleh menang. Sedarlah, ini tahap Asia sudah," kata Amirul Fahmi.

"Bukan nak kutuk, tetapi pemain yang berjuang untuk negara ketika diperlukan tidak diberikan peluang untuk bermain. Sekarang, hadaplah hakikat kerana terlalu mahu ikutkan kalendar FIFA," kata Johan Irwan.

"Pemain yang sudah berjuang untuk melayakkan diri ke Piala Asia tidak dibawa. Ini, ambil pemain yang tidak tahu berasal dari dalam negara untuk beraksi di Asia?" ujar Lazziwan Lewandos.

Selepas ini, skuad kendalian Pan-gon akan berdepan Bahrain dalam aksi kedua Kumpulan E pada 20 Januari sebelum menutup saingan berdepan Korea Selatan lima hari kemudian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram