[VIDEO] Gol awal Jordan 'bunuh' Harimau Malaya, kami boleh buat lebih baik — Matt Davies


  • Podium
  • Selasa, 16 Jan 2024

Matt Davies diberikan peranan kapten ketika aksi pembukaan Piala Asia buat Harimau Malaya. — Facebook/FAM

HASRAT skuad kebangsaan untuk memulakan kempen Piala Asia 2023 dengan langkah kanan tidak tercapai selepas mengalami kekalahan 0-4 kepada Jordan di Stadium al-Janoub, Qatar pada awal pagi Selasa.

Dua gol daripada Mahmoud al-Mardi dan dua lagi daripada Musa al-Taamari itu menyaksikan pasukan kebangsaan kini berada di tangga tercorot selepas aksi pembukaan berlangsung.

Keputusan akhir tersebut pastinya sukar diterima rata-rata penyokong negara yang berasakan persembahan ditampilkan pemain tidak mencapai standard seperti sebelum ini.

BACA LAGI: Al-Mardi dan Yazan seperti lepas dendam, taktikal 3 defend KPG kembali dipersoal

Kekecewaan berkenaan turut diakui kapten pasukan, Matt Davies yang berasakan kegagalan skuad kebangsaan untuk menyekat gol pertama Jordan dalam perlawanan memberi impak cukup hebat terhadap gaya permainan mereka.

"Kita terdedah pada peringkat awal dan jaringan awal itu 'membunuh' kami dan saya berasakan kita boleh memberi persembahan lebih baik daripada hari ini.

"Bukan sahaja keputusan, tetapi persembahan juga sedikit mengecewakan kami. Saya juga melihat kita bermain dengan terlalu terbuka dan terlalu agresif ketika cuba mendapatkan bola," katanya kepada Astro Arena.

Dalam perlawanan tersebut, bek kanan Johor Darul Ta'zim (JDT) itu kelihatan bergelut sehingga menghadiahkan penalti kepada pihak lawan pada separuh masa pertama permainan.

Selain itu, percubaannya untuk membuat hantaran tepat ke kawasan serangan lawan juga sedikit menghampakan apabila gagal menemui rakan sepasukan yang mahu menjaringkan gol.

Selepas ini, skuad kebangsaan bakal berdepan Bahrain yang turut pulang dengan tangan kosong daripada aksi pembukaan mereka setelah tewas kepada Korea Selatan dengan keputusan 3-1.

Jika berjaya meraih sekurang-kurangnya satu mata, ia akan membuka platform terbaik buat Harimau Malaya melangkah ke peringkat kalah mati Piala Asia buat kali pertama dalam sejarah pasukan.

Kemenangan tersebut menyaksikan Jordan kini berada di tangga teratas Kumpulan E dengan mereka bakal berdepan juara dua kali pertandingan itu dengan kedua-dua perlawanan bakal berlangsung pada Sabtu ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram