PEMINAT bola sepak, Sivan John bakal menyambut hari jadinya yang ke-44 dengan mengembara sejauh 5,915km untuk menyokong pasukan kebangsaan di Piala Asia AFC di Qatar.
Lelaki kelahiran Klang yang bekerja dalam bidang insurans berkata, dia tidak sabar untuk menyokong Harimau Malaya apabila mereka kembali ke kejohanan bola sepak Asia selepas 17 tahun.
Persaingan 24 pasukan itu bermula pada minggu lepas di peringkat kumpulan, dengan tarikh perlawanan akhir ditetapkan pada 10 Februari.
"Saya akan 'terbang' ke Qatar pada 23 Januari, iaitu pada hari jadi saya, untuk menyokong Malaysia dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang salah satu pasukan terbaik Asia, Korea Selatan.
"Saya rasa sangat bersemangat. Tiket dan penginapan sudah saya selesaikan termasuk tiket ke perlawanan itu," kata Sivan sambil menambah dia membelanjakan sebanyak RM6,000 untuk perjalanannya ke negara Timur Tengah itu.
Sivan berkata, ia merupakan kali pertama dia melancong ke luar negara untuk menyokong pasukan bola sepak Malaysia.
Pada Disember lalu, dia pergi ke Indonesia untuk menonton kejohanan Piala Dunia Bawah 17 (B-17) dan memberi sokongan kepada pasukan Argentina.
Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia membuat kemunculan di Piala Asia AFC pada 2007, ketika menjadi tuan rumah bersama Vietnam, Thailand dan Indonesia.
Kali terakhir Malaysia layak secara merit adalah pada 1980.
Dalam kempen tahun ini, Malaysia diundi masuk ke Kumpulan E bersama Korea Selatan, Bahrain dan Jordan.
BACA LAGI: 'Ramai yang hebat, tapi ada yang dulu enggan beraksi untuk negara ketika Piala AFF'
Reaksi penyokong Harimau Malaya yang menyaksikan perlawanan di Qatar — Facebook/FAM
Ditanya mengapa dia memilih untuk menonton perlawanan Malaysia - Korea Selatan di Qatar, Sivan menjawab Harimau Malaya juga menentang Jordan dan Bahrain, dua pasukan yang bagus dalam satu kumpulan yang sama.
"Tapi perlawanan menentang Korea Selatan yang saya mahu saksikan.
"Pada tahun 1980, kita mengalahkan Korea Selatan untuk layak ke Olimpik dan harapnya, sejarah akan berulang kembali.
Sivan berkata, walaupun sukar untuk Malaysia membuat kejutan terhadap Korea Selatan, dia mempunyai keyakinan terhadap pasukan kebangsaan.
Korea Selatan, katanya, mempunyai pemain yang beraksi dengan kelab-kelab terkemuka Eropah sekali gus menjadikannya sebagai salah satu pasukan pilihan, manakala Malaysia pula adalah pasukan 'underdog' di peringkat Asia.
"Tapi dalam bola sepak, apa-apa boleh terjadi dan semua orang sukakan kejutan.
"Saya melihat yang pasukan kebangsaan kita mampu raih keputusan positif menjelang perlawanan ini.
"Saya berasa optimis dengan pemain kita dalam mendapatkan keputusan yang baik hingga mampu layak ke peringkat kalah mati," tambah Sivan.— The Star/MOHD FARHAAN SHAH
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram