DALAM satu aksi Kumpulan F Piala Asia 2023, Thailand mencipta satu kenangan manis buat bola sepak Asia Tenggara apabila meraih kemenangan 2-0 ke atas Kyrgyzstan.
Meskipun tidak mengadakan sesi latihan berpusat dengan awal, kualiti skuad Gajah Perang sememangnya sukar ditandingi pasukan lawan sejak minit pertama permainan.
BACA LAGI: Terengganu ambil langkah bijak, cari kelebihan adakan latihan pra-musim seawal Februari
Serangan bertali arus yang dilancarkan membuahkan hasil apabila pada minit ke-26, penyerang Thailand, Supachai Chaided memanfaatkan peluang dengan menampan masuk bola muntah daripada penjaga gol Kyrgyzstan, Erzhan Tokotayev.
Pada babak kedua pula, skuad kendalian Masatada Ishii tidak perlu menunggu lama selepas pemain berusia 25 tahun itu sekali lagi menjadi wira buat pasukan apabila menggegarkan gawang lawan.
Foto perkahwinan Supachai bersama isterinya dua tahun lalu. — Instagram/supachai.9
Kemenangan berkenaan menyaksikan Thailand menjadi satu-satunya pasukan dari rantau Asia Tenggara meraih tiga mata penuh selepas tiga wakil lain iaitu Vietnam, Indonesia dan Harimau Malaya mengalami kekalahan.
Tumpuan pastinya diberikan kepada Supachai yang mencuri perhatian dengan dua gol yang dijaringkannya memandangkan penyerang tersebut tidak begitu dikenali sebelum saingan Piala Asia bermula.
Bagaimanapun, hasil carian peminat bola sepak tanah air mendapati penyerang Buriram United terbabit memiliki kisah tersendiri kerana dia merupakan seorang anak Melayu Islam yang dilahirkan di daerah Pattani.
Perkara itu disedari berdasarkan foto perkahwinannya yang memaparkan pemain tersebut lengkap berbaju Melayu di samping isterinya, Pia Butsakorn yang merupakan seorang wartawan.
Kualitinya yang dipamerkan dalam aksi berdepan Kyrgyzstan juga sememangnya akan meningkatkan nilai serta reputasinya dalam kalangan peminat bola sepak tanah air.
Kelincahan Supachai mula dibandingkan dengan pemain sayap JDT, Arif Aiman Hanapi. — Agensi
Kebolehannya untuk menggunakan kepantasan dalam melepasi barisan pertahanan lawan segera mengingatkan orang ramai akan pemain sayap skuad kebangsaan serta Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi.
Meskipun Supachai lebih berusia, kariernya yang cukup menakjubkan mencetuskan perbandingan terbabit untuk melihat siapakah yang dapat membawa negara masing-masing ke tahap lebih jauh dalam Piala Asia kali ini.
Untuk rekod, penyerang Thailand itu sudah merekodkan 32 penampilan bersama skuad Gajah Perang dengan tujuh gol dan satu bantuan jaringan sudah dicatatkannya setakat ini.
Di peringkat kelab pula, Supachai mempunyai reputasi cukup baik kerana pernah mengungguli carta penjaring terbanyak Liga Thai pada musim 2022/23 setelah menjaringkan 19 gol buat Buriram United. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram