'Di mana pelindung Harimau Malaya?' fans persoal satu lagi pilihan taktikal KPG


  • Podium
  • Rabu, 17 Jan 2024

Penyokong mula menunding jari ke arah Pan-gon atas beberapa keputusannya dalam aksi pembukaan itu. — Facebook/FAM

SEHINGGA hari ini, masih terdapat sebahagian besar penyokong Harimau Malaya yang kecewa setiap kali mengenang kekalahan 0-4 skuad kebangsaan di tangan Jordan pada Isnin.

Kegagalan anak-anak buah Kim Pan-gon memberikan aksi terbaik menyaksikan persembahan pasukan negara tidak teratur sehingga membolehkan pihak lawan mengambil kesempatan.

Berdasarkan pemerhatian di media sosial, rata-rata penyokong berasakan pelbagai perkara boleh dikupas untuk melihat punca Harimau Malaya tersungkur di bumi Qatar.

BACA LAGI: Harimau Malaya bawa misi penting, satu Malaysia doakan bertempur penuh semangat — PM Anwar

Antara yang menjadi perhatian utama mereka adalah keputusan jurulatih dari Korea Selatan itu menggunakan formasi 3-4-3 yang menyaksikan benteng pertahanan negara mudah goyah.

Selain itu, pemilihan penyerang naturalisasi negara, Romel Morales ke dalam kesebelasan utama turut menimbulkan persoalan memandangkan ia merupakan aksi debutnya bersama Harimau Malaya.

419406517_1078789593194276_2314208406615455799_n (1)

Harimau Malaya perlu bangkit untuk dua baki aksi Kumpulan E Piala Asia. Facebook/FAM

Namun, bagi pengguna Facebook, Fahmi Mohamad, ketiadaan pemain tengah bertahan merupakan salah satu keputusan taktikal yang perlu diberi perhatian ketika aksi Kumpulan E menentang Jordan itu.

"Sejak Pan-gon mengurus pasukan Malaysia, setiap perlawanan dia akan meletakkan seorang pemain tengah bertahan. Tugasnya sebagai pelindung kepada bek di belakang.

"Mereka juga berperanan sebagai destroyer gerakan pihak lawan, terutamanya ketika mereka cuba masuk ke dalam kawasan final third (zon serangan) Malaysia," katanya.

Berdasarkan pemilihan taktikal Pan-gon di Stadium al-Janoub, Qatar, dia meletakkan dua pemain tengah, Stuart Wilkin dan Afiq Fazail yang beraksi dengan baik dalam peranan masing-masing.

Namun, kecenderungan kedua-dua mereka untuk membantu percubaan Harimau Malaya menembusi benteng pertahanan Jordan menyaksikan mereka sukar memberi perlindungan kepada gawang gol sendiri.

415456013_1073801847026384_527625060590737136_n

Brendan Gan merupakan pilihan utama sebagai pemain tengah bertahan Harimau Malaya. Facebook/FAM

Jadi, tidak hairanlah apabila penyusunan taktikal Pan-gon menimbulkan tanda tanya kerana dia memiliki beberapa pilihan sebagai pemain tengah bertahan seperti Brendan Gan serta Syamer Kutty Abba.

"Apabila bermain secara terbuka dan melakukan tekanan dengan tinggi terhadap pemain lawan (high line pressing), pemain 'destroyer' ini sangat diperlukan untuk melindungi bek dari pelbagai arah serangan lawan.

"Mereka juga bertindak untuk melakukan 'kerja kotor' sehingga pemain lawan mati langkah dalam gerakan ke kotak penalti Malaysia, tetapi Pan-gon meletakkan Wilkin dan Afiq sebagai double pivot yang memainkan peranan sebagai perancang dari barisan belakang," tulisnya lagi.

Selain Brendan dan Syamer, Harimau Malaya juga mempunyai pilihan untuk meletakkan Natxo Insa di sebagai pemain tengah bertahan, namun kecederaan menghalangnya untuk diletakkan dalam skuad.

Pasukan negara selepas ini bakal berdepan Bahrain dalam aksi kedua Kumpulan E pada Sabtu sebelum menutup saingan peringkat kumpulan dalam perlawanan berdepan Korea Selatan pada 25 Januari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram