SEPERTI pasukan-pasukan lain, Kedah Darul Aman FC juga tidak ketinggalan dalam usaha menguatkan pasukan menjelang saingan musim baharu Liga Super 2024.
Sedang ada pasukan yang sudah mendapatkan pemain yang mereka idamkan, Kedah masih lagi mencari-cari pemain untuk menguatkan barisan mereka.
Dengan Piala Asia 2023 sedang berlangsung, pengurusan Kedah dilaporkan sedang berada di Qatar untuk mengintai beberapa pemain yang boleh dibawa menyertai Sang Kenari.
Dalam analisis ringkas Majoriti kali ini, kita akan mencari siapakah tiga calon pemain yang sesuai untuk mengisi kouta pemain import Kedah untuk musim baharu:
1. Waleed Al-Hayyam
Bahagian pertahanan merupakan posisi yang perlu dibaiki oleh Kedha untuk tampil lebih mantap pada musim depan dan Al-Hayyam boleh membantu menyelesaikan masalah itu.
Merupakan pemain antarabangsa Bahrain, Al-Hayyam merupakan sebahagian daripada Al-Muharraq dan telah bersama kelab itu sejak 2009.
Ketua pasukan Bahrain tersebut sememangnya ikon bola sepak negara itu. Untuk rekod, Al-Hayyam telah melakukan 103 penampilan bersama skuad kebangsaan dia akan menambah jumlah tersebut di Piala Asia.
Al-Hayyam merupakan pertahanan tengah yang boleh bermain di kedua-dua belah posisi tersebut termasuk menjadi pertahanan kiri. Bernilai RM1.5 juta, Kedah perlu berbelanja sedikit untuk membawa seorang pemain berwatakan pemimpin ke Alor Setar.
BACA LAGI: Bintang Piala Asia Oman sesuai ganti Ayron di Selangor, jadi rebutan kelab Liga Super
Al-Hayyam merupakan ikon bola sepak Bahrain. — Agensi
2. Odilzhon Abdurakhmanov
Pemain antarabangsa Republik Kyrgyz tersebut mungkin boleh dipertimbangkan oleh pengurusan Kedah bagi menguatkan barisan tengah mereka.
Dengan pemergian Amirbek Juraboev, Kedah boleh mendapatkan Abdurakhmanov yang dilihat sebagai pemain versatil kerana boleh beraksi di pelbagai posisi bahagian tengah.
Selain boleh beraksi sebagai pemain tengah menyerang dan bertahan, Abdukrakhmanov turut boleh bermain di bahagian sayap kanan dan kiri serta pertahanan kiri. Ia jelas memberikan nilai tambah kepada pemain tersebut.
Lebih menarik, Abdurakhmanov tidak mempunyai kelab selepas masanya bersama Maktaaral sudah berakhir. Jika bertindak pantas, Kedah boleh mendapatkan pemain yang cukup berbaloi menyertai mereka.
Abdurakhmanov kini tidak mempunyai kelab. — Agensi
3. Egy Maulana Vikri
Prospek bola sepak Indonesia yang pernah berkelana di Eropah juga boleh dipertimbang oleh Kedah untuk diambil bagi menggantikan Manuel Hidalgo.
Merupakan watak penting dalam Timnas Indonesia kendalian Shin Tae-yong, Egy mempunyai tujuh gol dalam 21 penampilan bersama skuad Garuda.
Egy pernah menyertai Lechia Gdansk di Poland. — Agensi
Di peringkat kelab, pemain kelahiran Medan itu telah menghasilkan lima gol dan empat bantuan gol dalam 19 penampilan bersama-sama Dewa United, pasukan yang turut diwakili oleh Junior Eldstal.
Boleh beraksi di kedua-dua belah sayap termasuk sebagai pemain tengah menyerang, jika berjaya merekrut Egy ia akan membantu menguatkan serangan Kedah. Untuk rekod, dia dinilaikan pada harga RM1.3 juta. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram