JIKA disebut nama pemain bernama Danial Amier, pasti ramai yang mengingati dia sebagai salah seorang prospek bola sepak negara yang cukup baik.
Danial merupakan seorang pemain tengah dan bakatnya sebelum ini dianggap mampu untuk menjadi generasi pemain tengah yang hebat untuk Malaysia di masa depan.
Perkara itu kelihatan jelas apabila Danial pernah membantu Malaysia mencipta satu rekod yang tidak diduga sewaktu Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) yang diadakan di China pada 2018.
Danial muncul wira apabila berjaya memastikan Malaysia berjaya mencipta kejutan ke atas Arab Saudi dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan.
BACA LAGI: Harap anda terima kehadiran saya — Luqman Hakim
Danial Amier (tengah) membantu Malaysia layak ke suku akhir Piala Asia B-23. — Facebook/FAM
Selepas tumbang 1-4 kepada Iraq dalam perlawanan pembukaan, Malaysia bangkit mendapatkan mata apabila seri 1-1 bertemu Jordan pada aksi kedua.
Tugas getir di perlawanan terakhir peringkat kumpulan apabila bertemu Arab Saudi. Namun Danial muncul wira apabila rembatan padunya memastikan kemenangan untuk Malaysia sekali gus berjaya layak ke suku akhir.
Kemenangan itu memberikan kejayaan yang jarang sekali diperoleh apabila bertemu Arab Saudi dan lebih menarik, ia membantu Malaysia mencipta sejarah layak ke suku akhir kejohanan pada penampilan pertama mereka.
Jurulatih skuad Malaysia B-23 ketika itu, Datuk Ong Kim Swee begitu gembira dengan keputusan yang berjaya diperoleh.
"Ia adalah satu keputusan yang bagus. Secara keseluruhan, para pemain menunjukkan keberanian dan keazaman, mereka membawa kita ke suku akhir.
"Kami mencipta sejarah dan itu adalah kejayaan yang hebat. Para pemain telah tunjukkan yang mereka boleh bersaing dengan pasukan lebih hebat," kata Kim Swee.
Bagaimanapun, kemaraan Malaysia ketika itu tersekat di suku akhir apabila mereka tewas 1-2 kepada Korea Selatan.
Melangkah ke hari ini, potensi Danial semakin mengecil dan dia seakan hilang dari radar. Namanya pula semakin jauh dari skuad kebangsaan.
Dia dikaitkan dengan perpindahan ke Penang FC untuk musim 2024/2025. Mungkin, inilah peluang untuk dia kembali bangkit dalam karier dan menunjukkan kenapa dia adalah pemain muda berpotensi tinggi satu masa dahulu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram