DRAMA demi drama, itulah yang boleh diungkapkan sebagai penutup cerita buat pasukan Kelantan FC yang dipenuhi dengan isu dalam dan luar padang musim ini.
Bukan JDT sahaja yang berjaya merekodkan pasukan pertama menjaringkan 100 gol semusim, malah Kelantan turut mencipta sejarah baharu menjadi pasukan pertama dibolosi lebih daripada 100 gol dalam satu musim.
Prestasi hambar Kelantan musim ini didakwa berpunca daripada masalah tunggakan gaji yang membuatkan pemain-pemain The Red Warriors (TRW) memilih untuk keluar daripada pasukan semasa liga sedang berjalan.
Tidak tahan dengan isu yang sedang berlaku musim ini, penyokong-penyokong Kelantan mula mendesak pemilik Kelantan, Norizam Tukiman melepaskan pasukan itu kepada individu lain.
Nurshamil menyertai Kelantan pada 2021.
Berkongsi pengalaman beraksi di Kelantan di dalam program ‘podcast’ Geng Jatuh Bangun (GJB) yang dihoskan oleh bekas penjaga gol kebangsaan, Zamir Selamat, Nurshamil bin Abd Ghani mendedahkan perjalanannya bersama skuad Kijang Merah.
Menurut Nurshamil, pada mulanya, dia menandatangani kontrak bersama Kelantan bukanlah dengan kerelaan hati kerana gagal mencapai persetujuan dengan pihak pengurusan.
"Rezeki dalam bola ada lagi, orang 'recommend' saya untuk pergi ke salah satu pasukan di Pantai Timur, Kelantan The Red Warriors (TRW).
"Saya di Kelantan dekat dua tahun lebih, masa pergi Kelantan kena 'selection' tiba-tiba dia nak tengok sedangkan dah kenal saya.
"Masa itu, dia panggil jurulatih dari Itali, nampak Kelantan macam gah sebab 'coach' datang daripada Itali, Sepanyol dan semua datang.
"Masuk Kelantan saya 'sign' kontrak tanpa rela, kerana masa itu perbincangan antara dua pihak tak capai persetujuan dengan harga yang diberi," katanya dalam GJB.
Nurshamil kini beraksi dengan Kuching City.
Tambahnya, ketika ditawarkan kontrak tersebut, hanya satu yang bermain dalam fikirannya iaitu mahu pulang ke kampung sebelum membuat keputusan meminta pandangan daripada ahli keluarga.
"Saya telefon mak dengan isteri tanya macam mana dengan gaji sebegitu, sebab banyak sangat potongan dia.
"Dia (pihak pengurusan) bagi satu amaun, potong ini, potong ini...tinggal itu. Sebelum 'sign' kontrak, dia kata bagi gaji banyak ini, tapi ada KPI, jadi tinggal itu sahaja yang masuk.
"Saya ambil kontrak itu dan kata dekat dia nanti bagi jawapan.
"Masa itu fikir lebih baik saya balik, sebab sebelum ini dengan Melaka pun bukan nak cakap gaji sedap tapi padanlah dengan komitmen masa itu.
"Saya telefon mak, isteri semua bagi jawapan yang sama, layan dulu nanti tahun depan cerita lain. Main dulu sekurang-kurangnya ada juga sikit daripada tak ada langsung.
"Saya terima dengan gaji itu barulah saya kenal dengan seorang pemilik diberi nama Zamsaham," jelasnya.
Menjawab soalan daripada penyokong, Nurshamil tidak menafikan isu yang pernah tular mengenai dakwaan pemilik Kelantan FC mengherdik pemainnya sendiri ketika perjalanan untuk ke Sabah.
"Tak perlu jawab benda itu dah kecoh, pernah kecoh pemain dimaki ketika nak pergi Sabah, perkara itu terjadi awal tahun ini.
"Kalau kita cakap panjang macam burukkan orang pula, kalau kita tutup aib orang, orang tutup aib kita," luahnya.
Kini Nurshamil sedang beraksi bersama Kuching City FC dan beraksi dalam 16 perlawanan sejak menyertai mereka semasa jendela perpindahan kedua pada Julai lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram