Bek berstatus ejen bebas tawar solusi pertahanan goyah kelab Liga Super musim depan


  • Podium
  • Sabtu, 06 Jan 2024

Dari kiri: Kunalan, Glassock dan Yusri kini pastinya memasang hasrat mencari majikan baharu sebelum aksi Liga Super 2024/25 dibuka.

JENDELA perpindahan yang dibuka pertengahan Disember lalu menyaksikan beberapa kelab Liga Super sudah melepaskan pemain yang kurang memberi impak sepanjang musim.

Johor Darul Takzim (JDT), Terengganu FC, Perak FC dan Sri Pahang FC merupakan kelab yang sudah berbuat demikian dalam usaha mereka membuat perancangan untuk tahun akan datang.

Keputusan melepaskan pemain itu sekali gus membuka peluang buat pasukan lain mendapatkan mereka sekiranya dianggap sesuai dengan perancangan taktikal masing-masing.

Melihat kepada situasi musim lalu, keperluan pastinya diberikan terhadap barisan pertahanan dengan sebahagian besar kelab Liga Super berdepan isu terbabit sepanjang kempen 2023.

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan hanya Amirul Hisham, ada lagi 4 pemain nyaris gantung but lepas terlibat kemalangan

Berdasarkan statistik, kesemua lima pasukan tercorot merupakan mereka yang bergelut dalam aspek berkenaan apabila masing-masing dibolosi lebih daripada 50 kali.

Jadi, dalam usaha memperbaiki masalah terbabit, pihak pengurusan pasti perlu membuat perancangan dengan membawa masuk seorang yang berpengaruh dari segi pertahanan.

Antara langkah terbaik boleh diambil adalah dengan menyambar pemain di posisi tersebut yang sudah tidak lagi terikat dengan mana-mana pasukan atau juga dikenali sebagai ejen bebas.

Meskipun mereka mempunyai kelemahan tersendiri, mereka mempunyai kualiti lebih baik berbanding sekiranya kelab-kelab Liga Super menurunkan pemain muda dengan pengalaman yang terhad.

Oleh itu, melihat kepada pasaran terkini, terdapat tiga pemain pertahanan yang boleh disambar dalam misi mengurangkan jumlah gol dibolosi musim depan.

1. Michael Glassock

Meskipun menampilkan satu persembahan cukup baik pada awal musim, prestasi tidak menentu menyaksikan Sri Pahang FC melepaskan bek tengah kelahiran Australia, Michael Glassock.

Dia yang baru sahaja berusia 24 tahun tidak lagi kekal bersama skuad Tok Gajah untuk musim akan datang dengan pengendali pasukan, Fandi Ahmad pastinya sudah memiliki perancangan tersendiri.

Kebolehan Glassock untuk membaca gerakan lawan serta membuat bentesan meletakkannya sebagai salah seorang calon terbaik untuk mana-mana kelab yang mahu mendapatkan seorang pemain pertahanan tengah.

2108073

Glassock dilepaskan skuad Tok Gajah meskipun memainkan peranan penting sepanjang musim. Facebook/Sri Pahang FC

Selain itu, usianya yang masih muda juga merupakan satu kelebihan dengan tawaran kontrak jangka masa panjang boleh diberikan, sekali gus menyelesaikan isu pertahanan buat satu jangka masa panjang.

Antara kelab yang dilihat mampu menggunakan khidmatnya ialah Kuala Lumpur (KL) City FC dengan pasukan itu kini memiliki seorang bek tengah kelahiran Australia, Giancarlo Gallifuoco.

Gabungan kedua-dua pemain tersebut dijangka akan memberikan kelebihan buat skuad Warga Kota memperbaiki catatan gol dibolosi dalam Liga Super musim ini.

2. S Kunalan

Selepas lapan tahun beraksi buat JDT, pemain serba boleh, S Kunalan akhirnya meninggalkan kelab itu dalam usaha mencari pengalaman di tempat baharu.

Pemain kelahiran Semenyih, Selangor yang dahulunya lebih sinonim di posisi tengah berdepan perubahan yang menyaksikannya diletakkan di posisi pertahanan dalam tahun-tahun terakhirnya bersama skuad Harimau Selatan.

Pengalaman dimiliki Kunalan di peringkat kelab mahupun negara merupakan satu aset yang tidak boleh dipandang remeh meskipun usianya kini sudah mencecah 37 tahun.

JDT's S. Kunanlan during the Super League match against PJ City at Petaling Jaya Stadium last night. IZZRAFIQ ALIAS / The Star. April 13, 2019.

Kunalan kini berstatus ejen bebas setelah dilepaskan JDT baru-baru ini.

Jadi, sekiranya mana-mana kelab Liga Super berminat untuk mendapatkannya, ia boleh dianggap sebagai satu penyelesaian jangka masa pendek selain mampu memberikan tunjuk ajar kepada ubi muda.

Negeri Sembilan FC yang bergelut dari segi pertahanan boleh menyambar khidmat bekas kapten JDT tersebut dengan kehadirannya mampu mengisi kekosongan ditinggalkan Herold Goulon sekiranya mengalami kecederaan.

Selain itu, kebolehan Kunalan beraksi sebagai pertahanan sayap juga boleh menjadi sebab untuknya disambar skuad Jang yang turut berdepan isu tersebut musim lalu.

3. Yusri Yuhasmadi

Kemelut pengurusan Kelantan FC sepanjang tahun 2023 menyaksikan sebahagian besar daripada skuad mereka meninggalkan kelab berkenaan akibat tidak menerima pembayaran gaji.

Antara yang memilih untuk menamatkan kontraknya ialah bek tengah merangkap kapten pasukan, Yusri Yuhasmadi beberapa minggu sebelum tirai Liga Super dilabuhkan.

Meskipun baru sahaja berusia 25 tahun, pemain berkenaan seperti sukar untuk mencari majikan baharu kerana prestasi tidak menentu sepanjang bersama skuad The Red Warriors (TRW).

1873168

Yusri pernah beberapa kali diberikan peranan kapten dalam skuad TRW. Facebook/TRW Kelantan FC

Bagaimanapun, kebolehannya untuk beraksi di beberapa posisi membuka pintu buat mana-mana kelab Liga Super mendapatkan khidmatnya dengan dia juga pernah diturunkan sebagai bek sayap.

Sri Pahang FC yang kehilangan Glassock serta seorang lagi pertahanan tengah, Muslim Ahmad boleh menyambar Yusri sekiranya mereka mahu mengukuhkan lagi struktur pertahanan musim depan.

Di samping itu, Perak FC juga boleh mengambil kesempatan apabila rata-rata daripada pemain pertahanan mereka kurang berpengalaman dalam Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram