BUKAN Liga Malaysia (Liga M) tapi saingan Japan League (J-League) menjadi pilihan penyerang skuad kebangsaan Bawah-23 (B-23) negara, Luqman Hakim Shamsudin untuk terus menimba pengalaman dalam karier bola sepak.
Keputusan Luqman Hakim ke Negara Matahari Terbit itu juga mengesahkan bahawa penyokong bola sepak tanah air masih belum berkesempatan untuk melihat aksi pemain berusia 21 tahun itu di saingan liga domestik.
Sebelum ini, Luqman Hakim pernah memberi bayangan untuk menyertai kelab Liga M bagi mengumpul minit permainan yang banyak dengan khabar angin mengaitkannya dengan bekas majikannya, Selangor FC.
Memetik laporan daripada Sinar Daily, Luqman Hakim akan beraksi sebagai pinjaman selama setahun dengan kelab Liga 3 Jepun yang mana ia akan bermula pada Januari ini sehingga Disember 2024.
Difahamkan, penyerang kelahiran Kelantan itu juga mendapat tawaran untuk beraksi bersama kelab divisyen 2 Jepun namun memilih bermain bersama pasukan divisyen 3 bagi meraih banyak minit permainan.
BACA LAGI: [VIDEO] Berlatih pakai jersi Selangor, Luqman Hakim beri klu kembali ke tanah air musim depan
Aksi permainan Luqman Hakim ketika beraksi sebagai pemain pinjaman Njardvik FC. — Instagram/Luqman
BACA LAGI: Luqman Hakim beri bayangan beraksi di Liga Super sebagai pemain pinjaman
"Langkah itu dijangka memberikan pemain muda itu pengalaman berharga dan pendedahan kepada gaya permainan yang berbeza.
"Bagi memudahkan langkah itu, Luqman akan menerima sokongan kewangan daripada KV Kortrijk, (majikan Luqman) yang akan menampung sebahagian daripada gajinya sepanjang tempoh pinjaman," menurut laporan berkenaan.
Walaupun identiti kelab berkenaan masih dirahsiakan namun kebanyakan penyokong tanah air bimbang jika Luqman Hakim membuat percaturan yang salah dengan beraksi di J league 3 untuk meneruskan kelangsungan kerjayanya.
Malah, senario menimpa penyerang Perak, Hadi Fayyadh yang tidak berpeluang meraih banyak minit permainan bersama kelab divisyen 3, Azul Claro diharap menjadi pedoman kepada Luqman Hakim.
Hadi berada selama empat musim dalam Liga Jepun divisyen 3 (J3) bersama Fagiano Okayama dan dipinjamkan ke Azul Claro pada Februari 2022 bagi mengumpul minit permainan.
Hadi menyertai Perak FC pada awal musim 2023. — Facebook/PerakFC
Namun begitu, sepanjang tempoh pinjaman tersebut, Hadi Fayyadh hanya beraksi menerusi satu perlawanan J3 selama enam minit dalam tiga penampilan pada musim 2022.
"Takut dia hilang saja dari radar terus macam Hadi Fayyadh," pendapat penyokong, Joseph Delton.
"Walaupun Liga ke-3 tapi persaingan masih sengit untuk mendapatkan minit," kata penyokong, Palatao_bola.
Sejak menyertai kelab Belgium KV Kortrijk pada 2020, pemain berusia 21 tahun itu hanya bermain tiga perlawanan dan tahun ini dan seterusnya dia dipinjamkan ke kelab divisyen dua Iceland, Njardvik.
Bersama kelab Scandinavia berkenaan, pemain kelahiran Kelantan itu bermain 11 perlawanan dan menjaringkan dua gol sebelum kembali ke Kortrijk selepas perjanjian pinjamannya berakhir.
Meskipun segelintir penyokong risau dengan keputusan Luqman Hakim itu namun semangat juang pemain muda itu untuk berkelana di luar negara bagi mendapatkan pengalaman dan minit permainan wajar diberi pujian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram