Idam skor setiap 'game', itu janji Al-Mardi buat penyokong Kedah


  • Podium
  • Rabu, 06 Jul 2022

Al-Mardi menjaringkan hatrik ketika menewaskan Visakha FC dalam saingan Piala AFC di Bali minggu lalu. — Facebook KDA FC

SELEPAS berjaya menjaringkan hatrik ketika menewaskan Visakha FC dalam saingan Piala AFC di Bali minggu lalu, pemain import Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Mahmoud Al-Mardi akui berasa sedikit tekanan.

Menurutnya, aksi cemerlangnya pada perlawanan lalu membuatkan ramai penyokong meletak harapan tinggi ke atas pemain berusia 29 tahun itu menjelang perlawanan Piala FA menentang Terengganu FC (TFC) pada Rabu.

Enggan berputus asa sebelum berjuang, pemain yang mewakili skuad kebangsaan Jordan itu berazam untuk tidak menghampakan semua penyokong skuad Hijau Kuning.

“Sebagaimana anda tahu saya dapat skor hatrik perlawanan lalu, jadi ia membuatkan saya berada bawah tekanan kerana semua peminat nak saya buat terbaik untuk Kedah.

“Pastinya saya nak menggembirakan semua peminat KDA FC. Insya-ALLAH saya akan berikan apa yang saya mampu," katanya kepada MFL.

Al-Mardi akui sentiasa dahagakan jaringan bagi setiap perlawanan yang berlangsung dan dia akan berusaha memperolehnya,

“Saya berkeinginan untuk menjaring gol kepada setiap perlawanan.

“Tetapi jika saya tak skor ataupun skor, yang paling penting ialah Kedah menang,” jelasnya.

kda

Aidil memuji keserasian pemainnya ketika kempen Piala AFC. — Facebook KDA FC

Sementara itu, pengendali KDA FC, Aidil Sharin Sahak memberikan pujian kepada anak-anak buahnya terutama dua import baharu Sang Kenari kerana berjaya membina keserasian dalam tempoh yang singkat.

Selain Al-Mardi, bekas pemain kebangsaan Thailand, Sanrawat Dechmitr juga diumum sebagai pemain baháru KDA FC ada jendela perpindahan kedua musim ini.

“Kini kita ada ada empat sahaja pemain asing tidak termasuk Marc Vales yang mengalami kecederaan.

“Saya kagum dengan mereka kerana bukan mudah untuk membina keserasian dengan masa yang singkat tetapi Alhamdulilah mereka dapat beri yang terbaik. Saya berharap mereka akan beraksi lebih baik daripada apa yang kita lihat selama ini,” jelasnya.

Menentang TFC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, Terengganu bagi perlawanan pusingan kedua Piala FA, ia merupakan aksi pertama Al-Mardi dalam Liga Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram