K Rajagopal, 'The Giant Killer' antara 3 jurulatih ejen bebas boleh dipancing kelab Liga Super


  • Podium
  • Sabtu, 13 Jan 2024

Azzmi tidak lagi terikat dengan mana-mana pasukan selepas kali terakhir membimbing skuad Sang Saka Biru. — Facebook/PDRM FC

PERTUKARAN ketua jurulatih bukanlah satu perkara yang janggal dalam dunia bola sepak, lebih-lebih lagi sekiranya seorang pengendali itu tidak menampilkan prestasi terbaik.

Situasi berkenaan turut disaksikan dalam Liga Super apabila terdapat sembilan perubahan sepanjang saingan liga musim lalu dengan jumlah terbabit merupakan antara yang tertinggi beberapa tahun kebelakangan ini.

Malah, beberapa minggu lalu, Johor Darul Ta'zim (JDT) menjadi pasukan terkini yang melakukan pertukaran dengan Hector Bidoglio hadir menggantikan Esteban Solari.

Pertukaran ketua jurulatih dijangka akan menjadi lebih rancak setelah saingan bermula pada Mei kerana pihak pengurusan dapat berasakan prestasi seseorang pengendali tidak menepati visi dan misi pasukan.

BACA LAGI: Nidzam Adzha tawar diri letak jawatan lepas gagal beri Kedah gelaran Piala Malaysia 2017

IMG_0055

Solari digugurkan meskipun mencatatkan satu musim cemerlang bersama JDT. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Perubahan terbabit bagaimanapun boleh dianggap sebagai satu percaturan kerana tiada jaminan pengganti yang dibawa masuk dapat mengubah nasib pasukan.

Jadi, antara langkah terbaik untuk mengatasi masalah berkenaan adalah dengan mendapatkan seorang pengendali tempatan yang tidak terikat dengan mana-mana pasukan atau lebih dikenali sebagai ejen bebas.

Di samping dapat membuka tawaran gaji lebih rendah, terdapat kemungkinan mereka mempunyai semangat lebih berkobar-kobar setelah membuat pemerhatian lebih rapi akan situasi semasa bola sepak.

Selain itu, keputusan mendapatkan seorang jurulatih yang tidak mengendalikan sebarang pasukan membawa kelebihan tersendiri kerana tiada bayaran pampasan perlu dibuat kepada mana-mana pihak.

Melihat kepada keadaan hari ini, terdapat tiga jurulatih berstatus ejen bebas yang boleh disambar mana-mana pasukan Liga Super sekiranya mereka berhasrat membuat perubahan.

1. Azzmi Aziz

Meskipun memulakan kempen musim lalu dengan cukup baik bersama PDRM FC, percanggahan pendapat dengan pihak pengurusan menyaksikan Azzmi Aziz digugurkan pada awal Ogos 2023.

Dia yang dikenali dengan status 'giant killer' selepas menumpaskan Selangor FC, Sabah FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC memiliki kebolehan untuk melakukan kejutan setiap kali berdepan pasukan lebih besar.

Tidak cukup dengan itu, pengendali berusia 49 tahun itu juga mempunyai kebolehan dalam mengatur anak-anak buahnya meskipun mereka tidak berstatus bintang di mata peminat bola sepak tanah air.

1988613

Azzmi Aziz merupakan seorang jurulatih muda dengan potensi tersendiri. Facebook/PDRM FC

Jadi, sekiranya mana-mana pasukan mahu membuat perubahan, Azzmi merupakan calon terbaik dengan gaya permainannya dilihat cukup sesuai untuk pasukan bawahan Liga Super.

Berdasarkan khabar angin, beberapa pasukan pernah menunjukkan minat untuk mendapatkan khidmatnya, termasuk Penang FC dan Negeri Sembilan FC yang bergelut musim lalu.

Namun, dengan pihak pengurusan masih belum membuat kata putus, Azzmi masih merupakan seorang jurulatih dengan status ejen bebas yang membolehkannya membimbing mana-mana kelab pilihannya.

2. K Rajagopal

Sekiranya ditanya penyokong bola sepak tanah air, nama K Rajagopal pastinya cukup sinonim apabila dia pernah membantu Harimau Malaya menjuarai Piala AFF pertama dalam sejarah negara pada 2010.

Bagaimanapun, ketika ini, namanya mula sepi dengan dia lebih cenderung membawa haluan tersendiri tanpa terlibat secara langsung dalam saingan Liga Super.

Berdasarkan rekod, kali terakhir Rajagopal bergelar seorang jurulatih adalah ketika dia mengendalikan pasukan kebangsaan Brunei untuk dua tahun bermula 2020.

Malaysia+coach+K+Rajagopal

Rajagopal mempunyai status tersendiri dalam dunia bola sepak tanah air. Agensi

Kini, pengendali berusia 67 tahun itu lebih kerap berkongsi pandangannya mengenai bola sepak di laman X peribadinya dengan orang ramai pasti tertarik untuk melihatnya kembali bergiat secara aktif.

Pengalamannya pasti dapat membantu kelab seperti Kuala Lumpur (KL) City FC atau Negeri Sembilan FC kembali beraksi lebih baik meskipun sudah beberapa tahun tidak bergelar seorang ketua jurulatih.

Rajagopal juga boleh dikatakan sesuai mengendalikan mana-mana skuad simpanan kerana dia pernah membimbing Harimau Muda A serta skuad Bawah 19 Tahun (B-19) Harimau Malaya sebelum ini.

Skuad Piala MFL Selangor FC pastinya tertarik untuk memberikannya peluang berkenaan dengan jurulatih kelahiran KL terbabit beberapa kali kelihatan terlibat dengan pasukan Lembah Klang itu.

3. Nidzam Adzha Yusoff

Meskipun tidak mempunyai pengalaman mencukupi dalam bidang kejurulatihan, Nidzam Adzha pernah membuktikan kebolehannya sepanjang beberapa bulan bersama Kedah FA.

Dia yang pada 2017 dilantik bagi menggantikan Tan Cheng Hoe menampilkan bakatnya apabila membantu skuad Sang Kenari menjuarai Piala FA serta mencecah pentas akhir Piala Malaysia pada tahun yang sama.

Kekalahan berdepan JDT dalam aksi final kemudiannya menyaksikan jurulatih berusia 55 tahun berkenaan mengumumkan keputusannya untuk melepaskan jawatan terbabit apabila berasakan adalah terlalu sukar untuknya memikul peranan seberat itu.

120540938_3473271812715948_7096376427603695518_o

Nidzam mempunyai pencapaian tersendiri sepanjang menjadi ketua jurulatih. Facebook/KLFA

Walaupun dia pernah terlibat dalam dunia kejurulatihan bersama Kedah FA dan KL City, Nidzam kini difahamkan tidak lagi terikat dengan mana-mana pasukan.

Berdasarkan carian di laman sesawang, difahamkan kali terakhir Nidzam terlibat secara langsung dalam arena bola sepak tanah air adalah pada 2021 ketika dia bergelar pengarah pasukan Persatuan Bola Sepak KL (KLFA).

Jadi, ia menjadi satu peluang buat mana-mana pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmat seorang jurulatih dengan kejayaan serta jumlah trofi dimenanginya menjadi satu tarikan sukar ditolak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram