Al-Mardi dan Yazan seperti lepas dendam, taktikal 3 defend KPG kembali dipersoal


  • Podium
  • Selasa, 16 Jan 2024

Al-Mardi mencetak dua jaringan gol sebelum dikeluarkan ekoran masalah kecederaan dialaminya. — Facebook/FAM

SKUAD kebangsaan nampaknya perlu berhempas-pulas dalam dua perlawanan seterusnya apabila gagal mendapatkan sebarang mata dalam aksi pertama Kumpulan E menentang Jordan selepas ditewaskan dengan keputusan 0-4 di Stadium Al Janoub, Doha, Qatar pada Selasa.

Separuh pertama Malaysia bermula dengan suram apabila Jordan selesa menguasai permainan dan mudah mematahkan pertahanan Harimau Malaya dengan melakukan percubaan demi percubaan ke gawang yang dijaga Syihan Hazmi.

Usaha skuad The Chivalrous Ones membuahkan hasil apabila ledakan melencong bekas pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC, Mahmoud Al-Mardi meletakkan Jordan di hadapan setelah 12 minit perlawanan.

Pengadil perlawanan, Mohammed Abdulla Hassan Mohamed menghadiahkan sepakan penalti kepada Jordan selepas ketua pasukan, Matthew Davies menjatuhkan penyerang pasukan lawan, Yazan Al-Naimat.

Tidak mensia-siakan peluang berkenaan, Musa Al-Tamari menambah senyuman buat penyokong Jordan apabila tenang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-17 perlawanan.

Al-Mardi menambah derita buat pasukan kendalian Kim Pan-gon dengan meledak jaringan kedua peribadi dan meletakkan Malaysia semakin ke belakang.

isi dalam

Kesebelasan utama Malaysia menentang Jordan. — Facebook/FAM

Pemain yang beraksi di Ligue 1, Montpellier, Al-Tamari turut menambah jaringan peribadi dengan merekodkan jaringan kedua pada minit ke-85.

Merakamkan tiga bolos pada perlawanan itu membuatkan penyokong Harimau Malaya mempersoalkan taktikal yang ditampilkan oleh pengendali kelahiran Korea Selatan itu.

Pan-gon meletakkan trio Dion Cools, Junior Eldstal dan Davies sebagai jentera pertahanan Malaysia pada separuh masa pertama dan taktikal berkenaan nampaknya kurang menjadi sehingga pemain lawan mudah melakukan percubaan.

“Lebihkan pertahanan. Kita tak mampu dengan tiga pertahanan saja. Terlalu open perlawanan ini. Senang pemain Jordan keluar masuk macam tiada apa-apa,” kata penyokong skuad kebangsaan, Rafi Sazlee.

“Pertahanan itu tambah satu lagi. Bukan gaya permainan EPL (Liga Perdana Inggeris) nak main high defensive jadi lopong bawah,” kata penyokong Harimau Malaya, Atok Atok.

“Al-Mardi dengan Yazan (Yazan Al-Arab) ini macam main balas dendam. Tahulah dua-dua kena buang pasukan Malaysia,” kata penyokong, Mu Fir.

Kekalahan di tangan Jordan ini diharapkan tidak menurunkan moral pemain dan seterusnya mendapatkan tiga mata penuh dalam perlawanan menentang Bahrain pada 20 Januari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram