SEBELUM ini, hangat diperkatakan di media sosial bahawa kapten skuad Gergasi Merah, Brendan Gan akan meninggalkan pasukan Lembah Klang itu selepas empat musim berkhidmat.
Meskipun sudah berusia 35 tahun, semangat dan staminanya setiap kali beraksi sukar dipertikaikan dengan pemain kebangsaan itu merekodkan 29 penampilan dalam kesemua pertandingan buat Selangor FC.
Berdasarkan khabar angin, juara Liga Super 10 kali berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT) berminat untuk mendapatkan khidmat Brendan Gan dengan sikap kepimpinannya cukup berharga.
BACA LAGI: Bintang JDT, Buriram United jadi pilihan pakai lilitan kapten aksi Piala Asia 2023
Namun, isu tersebut lenyap memandangkan pemain warisan negara berkenaan kini sedang memberi sepenuh perhatian bersama skuad kebangsaan yang akan bersaing dalam Piala Asia tidak lama lagi.
Bagaimanapun, baru-baru ini, timbul satu lagi khabar angin mengatakan sebuah lagi kelab Liga Super, Sri Pahang FC berminat mendapatkan khidmatnya untuk musim akan datang.
Brendan Gan kini menjalani sesi latihan bersama skuad kebangsaan di Qatar. — Facebook/FAM
Menurut satu ciapan wartawan tanah air, Fina Nasrom, Brendan Gan merupakan salah satu nama yang dikehendaki skuad Tok Gajah di samping bekas penyerang Harimau Malaya, Hazwan Bakri yang baru sahaja meninggalkan JDT.
"Rundingan Hazwan Bakri bersama Sri Pahang FC masih berlaku. Ada tempoh yang diminta Hazwan memandangkan kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) hanya akan pulih selewat-lewatnya Julai depan.
"Lebih menarik, Sri Pahang FC dikhabarkan buka pintu rundingan buat Brandan Gan?" katanya.
Pasukan Pantai Timur itu boleh dianggap sebagai destinasi terbaik buat bekas kapten Perak FA berkenaan apabila kehadiran Fandi Ahmad membawa nafas baharu buat mereka musim ini.
Fandi membawa skuad Tok Gajah ke tangga kelima Liga Super musim lalu. — Facebook/Sri Pahang FC
Meskipun gagal menamatkan saingan Liga Super dalam kelompok tiga pasukan teratas, kejayaan menambah baik prestasi berbanding pada 2022 memberi gambaran mengenai kebolehan skuad Tok Gajah pada tahun-tahun akan datang.
Kehadiran pemain kelahiran Australia itu pastinya dapat membawa kestabilan terhadap bahagian tengah Sri Pahang FC dengan gandingannya bersama tonggak pasukan, Nor Azam Azih cukup menarik untuk disaksikan.
Brendan Gan memainkan peranan penting dalam membantu Selangor FC merealisasikan impian mereka beraksi di pentas Asia musim depan dengan prestasinya yang konsisten menyaksikan pasukan itu muncul naib juara liga.
Antara sumbangannya yang cukup berharga adalah ketika mencipta jaringan buat Ayron del Valle ketika skuad bimbingan Tan Cheng Hoe menumpaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam aksi Liga Super ke-25 musim lalu.
Secara keseluruhan, Brendan Gan merekodkan lapan bantuan gol dan empat jaringan peribadi dalam kesemua pertandingan buat Selangor FC pada 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram