Aksi Piala Asia, Syihan 'berguru' dengan keeper Selangor, otai JDT


  • Podium
  • Sabtu, 13 Jan 2024

Syihan gembira menerima sokongan daripada rakan sepasukan dan bekas penjaga gol Malaysia. — Facebook/FAM

BINTANG Harimau Malaya, Syihan Hazmi amat bersyukur kerana 'kesatuan' penjaga gol di Malaysia mempunyai ikatan ukhuwah yang erat dan tidak lekang memberikan semangat kepada satu sama lain.

Menerapkan konsep 'kami tak ramai tapi kami ada', Syihan mengatakan para penjaga gol di Malaysia sentiasa mempunyai hubungan rapat dan saling menyokong perjuangan di padang.

Syihan mendedahkan yang sebelum terbang ke Qatar bersama Malaysia untuk Piala Asia, penjaga gol itu mengatakan dia menerima banyak kata-kata semangat daripada nama-nama yang pernah berada di tempatnya sekarang.

Menurut Syihan, bekas penjaga gol kebangsaan seperti Farizal Marlias dan Khairulazhan Khalid memberikan kata-kata motivasi buat dirinya untuk berdepan tekanan tinggi beraksi di kejohanan besar seperti Piala Asia.

BACA LAGI: Syihan mahu elak sebarang ruang bolos demi 3 mata pertama di pentas Piala Asia

418845729_1076315303441705_3938303891889834248_n

Syihan (kanan) giat berlatih menjelang perlawanan bertemu Jordan. — Facebook/FAM

"Para bekas penjaga gol ada hantarkan mesej kepada saya. Farizal, Khairulazhan dan yang lain-lain telah berikan saya banyak kata-kata semangat dan pendapat mereka mengenai bola sepak antarabangsa.

"Saya banyak belajar daripada mereka," kata Syihan.

Pemain Johor Darul Ta'zim itu dilihat sebagai calon kuat bagi mengawal pintu gol negara apabila turun berdepan Jordan pada aksi pembukaan Harimau Malaya di Piala Asia.

Menurut Syihan, selain bekas penjaga gol, rakan-rakan seposisi dengannya iaitu Azri Ghani dan Sikh Izhan Nazrel turut memberikan dorongan kepadanya.

"Azri dan Sikh Izhan juga memberikan motivasi kepada saya untuk kekal fokus semasa sesi latihan.

"Walaupun kami dari berlainan kelab tetapi kami saling berbuat baik antara satu sama lain," ujar Syihan.

Syihan berkata yang dia amat bersyukur kerana sokongan daripada penyokong sentiasa ada walaupun majoritinya tidak dapat bersama pasukan di Qatar.

Dia berazam untuk memberikan persembahan yang terbaik supaya Malaysia akan terus mencipta kejutan berdepan pasukan handalan Asia. — THE STAR/T. Avineshwaran

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram