SATU masa dahulu, Malaysia pernah mempunyai seorang pemain yang ada potensi cukup besar iaitu Rozaimi Abdul Rahman.
Pemain kelahiran Sabah itu pernah diberikan jolokan 'Neymar Malaysia' dek kerana gerakan lincahnya seakan bintang Brazil tersebut serta ketajamannya di depan gol.
Mana tidaknya, rekod Rozaimi cukup cemerlang bersama-sama skuad bawah 23 tahun (B-23) Malaysia apabila dia menghasilkan 19 gol daripada 22 penampilan.
Namun begitu, perjalanan kariernya tidak menjadi seperti yang dia dan kita semua mahukan. Detik malang menimpa Rozaimi apabila dia terlibat dalam satu kemalangan jalan raya pada 2015. Sejak itu, prestasinya terus merudum.
BACA LAGI: Selain Saddil Ramdani, 3 bintang Liga M juga pernah digugurkan 'last minute'
Rozaimi pernah mencuri tumpuan negara dengan persembahan cemerlangnya bersama Harimau Muda. — AFF
Kini tidak mempunyai kelab, penyerang berusia 31 tahun tersebut masih diharapkan oleh penyokong Sabah FC untuk kembali berbakti buat negeri kelahirannya namun begitu masih tidak kesampaian.
Namun begitu, Rozaimi memberikan bayangan yang dia mungkin tidak akan pernah beraksi untuk kelab negerinya walaupun sudah berada di fasa akhir karier.
"Semoga ada manis-manis (tahun) 2024 di perantauan," kata Rozaimi di laman Facebook miliknya.
Siaran yang dilakukan oleh Rozaimi itu mendapat perhatian pengerusi merangkap pengarah Sabah sendiri iaitu Datuk Jelani Hamdan.
Dia mengatakan yang satu kerugian sebenarnya untuk pemain seperti Rozaimi tidak dibawa beraksi untuk skuad Badak.
"Saya yakin Rozaimi mampu dan sudah pulih seperti dulu. Sebenarnya, satu kerugian kepada Sabah jika berterusan dia dipinggirkan sama ada sebagai pemain atau barisan kejurulatihan.
"Sebelum ini, saya sudah cuba membawa dia ke Sabah FC. Tapi ada sahaja yang menghalang dengan pelbagai alasan. Walaupun begitu, masih belum terlambat untuk beri peluang kepadanya," kata Jelani.
"Belum ada rezeki untuk main (dengan pasukan) tempat kelahiran," balas Rozaimi kepada komen Jelani itu.
Kelab terakhir diwakili Rozaimi adalah Kedah Darul Aman FC. Dengan musim baru cuma akan bermula pada bulan Mei, masih belum terlambat untuk dia mencari pasukan baharu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram