KEPUTUSAN Harimau Malaya mengadakan sesi latihan berpusat di Qatar lebih awal memberi peluang buat pemain menyesuaikan diri dengan cuaca dan keadaan di negara Arab itu.
Berdasarkan jadual, anak-anak buah Kim Pan-gon sudah berada di negara berkenaan sejak awal Januari lalu dengan beberapa wakil Presiden Bola Sepak Malaysia (FAM) hadir memberikan sokongan.
Antara yang turut serta ialah presiden badan induk bola sepak negara, Datuk Hamidin Mohd Amin yang kelihatan sering meluangkan masa dengan pemain di kem latihan.
BACA LAGI: Pertemuan di Arab Saudi eratkan bola sepak Asia, dunia — Hamidin
Meskipun sesetengah pihak berasakan kehadirannya tidak membawa sebarang perbezaan buat moral skuad kebangsaan, hubungannya yang baik dengan Pan-gon dan pemain kebangsaan membawa satu perasaan berbeza.
Jadi, dalam usahanya meningkatkan lagi keazaman pemain, Hamidin tampil memberikan kata-kata semangat ketika dia hadir ke sesi latihan pasukan negara di Universiti Qatar pada Sabtu.
Pemain negara mendengar kata-kata Hamidin dengan penuh tekun. — Facebook/FAM
"Piala Asia ini umpama Mini Piala Dunia kerana ia pentas tertinggi di peringkat Asia yang mana kita sendiri hanya berjaya layak ke pusingan akhir secara merit selepas menunggu selama 43 tahun.
"Pencapaian Malaysia di Piala Asia pada tiga edisi sebelum ini sekadar di peringkat kumpulan pada 1976 dan 1980 serta 2007 (layak selaku tuan rumah bersama). Jadi inilah peluang terbaik untuk kita mencipta satu lagi sejarah, mara ke peringkat kalah mati buat kali pertama," katanya seperti mana dilaporkan di laman Facebook FAM.
Skuad kebangsaan bakal memulakan kempen Piala Asia 2023 mereka dengan aksi berdepan Jordan pada Selasa di Stadium al-Janoub, Qatar sebelum bertemu Bahrain empat hari kemudian.
Mereka kemudiannya akan menutup saingan Kumpulan E berdepan juara dua kali kejohanan, Korea Selatan dengan misi melayakkan diri ke peringkat seterusnya pastinya menjadi fokus utama pasukan negara.
Jelas Hamidin lagi, aksi kali ini cukup penting untuk dimanfaatkan sepenuhnya memandangkan terdapat kemungkinan sebahagian daripada pemain kebangsaan tidak akan memperoleh platform sebegini pada masa akan datang.
"Lagipun untuk sebahagian pemain, terutamanya pemain-pemain senior, anggaplah ini sebagai pentas terpenting untuk anda memberikan persembahan terbaik kerana mungkin tidak berpeluang untuk beraksi lagi pada Piala Asia 2027 di Arab Saudi," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram