Dion Cools yakin kelebihan Brendan Gan, Faisal Halim sekat ancaman pemain tinggi lampai Jordan


  • Podium
  • Ahad, 14 Jan 2024

Cools dijangka mengemudi bahagian pertahanan tengah Malaysia untuk kempen Piala Asia kali ini. — Facebook/FAM

PASUKAN bola sepak Malaysia sememangnya mempunyai cabaran dari segi ketinggian apabila mereka menentang Jordan dalam Kumpulan E di Stadium Al-Janoub pada 16 Januari bagi perlawanan pertama kempen Piala Asia di Qatar.

Skuad Chilvarous Ones itu mempunyai ramai pemain hebat dengan ketinggian melebihi 1.82 meter, terutamanya bek tengah Yazan Al-Arab dan Anas Bani Yaseen yang kedua-duanya berketinggian 1.88 meter.

Kemudian, ada penyerang berbahaya mereka Ali Olwan yang berketinggian 1.84 meter untuk ditangani. Kelebihan Jordan ini memerlukan Harimau Malaya lebih berhati-hati semasa situasi set-piece.

Pertahanan kental Harimau Malaya, Dion Cools beranggapan kelebihan fizikal pemain Jordan yang lebih tinggi bukan satu masalah kerana pemain Malaysia kerana turut memiliki kelebihan walaupun bersaiz lebih kecil.

BACA LAGI: ‘Expert’ ramal Harimau Malaya cuma ada 0.2 peratus peluang julang Piala Asia

Cools berkata, Malaysia akan bermain mengikut kekuatan mereka dan menggunakan ia untuk menentang ancaman dari pemain Jordan yang jelas mempunyai kelebihan dari segi fizikal.

WhatsApp Image 2024-01-14 at 09.00.47

Brendan dipercayai mampu memainkan peranan penting di bahagian tengah. — Facebook/FAM

"Kami juga ada kualiti dari segi kepantasan dan ketangkasan. Mungkin mereka sedikit tinggi dan kuat namun kami ada kualiti tersendiri jadi saya tidak risaukannya.

“Ya mereka lebih tinggi daripada kita, namun pada pendapat saya tidak mudah untuk melawan pemain yang lebih kecil jadi ini juga kelebihan buat kita,” ujar Cools tentang persediaan Harimau Malaya menentang Jordan.

Tambahnya, dalam perlawanan seperti ini, pemain tengah Selangor FC, Brendan Gan akan memainkan peranan penting dalam meneutralkan lawan.

''Kekuatan dan kecekalan Brendan akan menjadi penting dalam pertempuran di bahagian tengah. Kami juga mempunyai pemain dengan ketangkasan seperti Faisal (Halim) walaupun dia bertubuh kecil.

"Dengan kualiti itu, kami berharap dapat menghasilkan sesuatu yang istimewa menentang Jordan," jelasnya.

Bintang naturalisasi itu gembira untuk menyertai kejohanan Piala Asia dan kecergasannya berada di tahap cemerlang setelah bermain beberapa perlawanan baru-baru ini untuk Buriram United dalam Liga Thai.

Pemain berusia 27 tahun itu dijangka menjadi pertahanan tengah pilihan pertama pengendali, Kim Pan-gon untuk menentang Jordan nanti.

"Saya berasa 100 peratus kerana saya telah bermain separuh musim dalam Liga Thai tahun ini, jadi kecergasan perlawanan bukanlah satu isu," jelasnya.

Cools ialah salah seorang daripada empat kapten dalam pasukan itu, bersama-sama dengan bek kanan Matthew Davies, pemain sayap Faisal dan rakan pertahanan tengah Shahrul Saad. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram