PERTEMUAN antara Jordan dan skuad kebangsaan dalam aksi Kumpulan E Piala Asia 2023 pastinya cukup dinanti-nantikan penyokong kedua-dua negara.
Persembahan terbaiknya pasti diharapkan dapat dipamerkan pemain untuk membolehkan mereka sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata penting dalam misi melayakkan diri ke peringkat seterusnya.
Bagi Jordan, mereka yang berjaya mara ke pusingan 16 pasukan terbaik pada edisi lalu pastinya berharap pencapaian itu dapat diulangi meskipun cabaran besar menanti mereka.
BACA LAGI: Usah bimbang jika kecundang di tangan Jordan, 3 mata dijamin milik HM lawan Bahrain
Harapan besar pastinya diletakkan di bahu pemain tengah, Noor al-Rawabdeh yang sudah mengumpul 42 penampilan sejak dipanggil mewakili negaranya kira-kira enam tahun lalu.
Namun, terdapat kesangsian mengenai kebolehannya untuk mempamerkan aksi terbaik memandangkan rata-rata pemain Harimau Malaya sudah mengetahui gaya permainannya sepanjang semusim bersama Selangor FC.
Noor mempamerkan aksi terbaik sejak tiba dalam skuad Gergasi Merah pada awal musim 2023. — Facebook/Selangor FC
Bagaimanapun, bagi jeneral tengah berusia 26 tahun berkenaan, dia sudah tidak sabar untuk merealisasikan impian Jordan membawa pulang mata daripada pertemuan itu.
"Ia akan menjadi satu perlawanan yang cukup istimewa buat saya kerana saya akan berdepan rakan sepasukan sendiri. Kami sudah hubungi antara satu sama lain sejak tiba di sini, termasuk bergurau mengenai aksi yang akan datang itu.
"Sudah tentu Malaysia kini sudah menjadi lebih baik dengan pemain hebat dimiliki mereka. Kita boleh lihat perkembangan pasukan beberapa bulan kebelakangan ini," katanya.
Jelas bekas pemain Al-Faisaly itu, rakan sepasukannya, Faisal Halim merupakan tonggak Harimau Malaya yang perlu diperhatikan melihat kepada rekod dan persembahannya sepanjang tahun lalu.
Selain Noor dan Faisal, Khuzaimi Piee dan Brendan Gan merupakan tonggak skuad Gergasi Merah yang akan beraksi di Piala Asia dengan Yazan al-Arab juga berpengalaman bersama kelab Lembah Klang itu.
"Persiapan kami kini berada di tahap terbaik dan semua pemain cukup teruja. Ia merupakan pertandingan paling penting dalam Asia, jadi sudah tentu saya sendiri tidak sabar untuk beraksi," katanya.
Jordan akan berdepan Harimau Malaya dalam aksi pembukaan Kumpulan E Piala Asia 2023 untuk kedua-dua pasukan pada 16 Januari di Stadium al-Janoub, Qatar. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram