Pertemuan di Arab Saudi eratkan bola sepak Asia, dunia — Hamidin


  • Podium
  • Jumaat, 22 Dis 2023

Hamidin (kiri) bersama Presiden Fifa, Gianni Infantino dalam Sidang Kemuncak Bola Sepak Fifa di Jeddah, Arab Saudi. — Facebook/FAM

DUA acara iaitu Sidang Kemuncak Bola Sepak Persekutuan Bola Sepak Dunia (Fifa) dan mesyuarat exco Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kali ketiga di Jeddah, Arab Saudi mampu mengeratkan hubungan sukan itu di peringkat Asia dan dunia.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang juga Ahli Majlis Fifa optimis hubungan bola sepak Asia dan dunia bertambah erat memandangkan kedua-dua acara berkenaan diadakan seiring dengan pertandingan Piala Kelab Dunia Fifa yang berlangsung bermula 12 Disember dan dijadual berakhir pada Jumaat.

"Bagi saya, pertemuan dan mesyuarat ini mampu mengeratkan hubungan persaudaraan bola sepak Asia dan dunia kerana ia diadakan di Jeddah bersempena dengan Piala Kelab Dunia Fifa dan Sidang Kemuncak Bola Sepak Fifa," katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook FAM pada Jumaat.

Ahli jawatankuasa eksekutif AFC itu pada masa sama berkata, mesyuarat exco AFC juga meluluskan pembentukan Pasukan Petugas Pembaharuan AFC untuk tadbir urus yang baik.

AFC

Hamidin ketika menghadiri majlis mesyuarat exco AFC. — Facebook/FAM

Selain Sidang Kemuncak Bola Sepak Fifa dan mesyuarat exco AFC, Hamidin turut menghadiri mesyuarat majlis Fifa Ahad lepas, juga di Jeddah.

Antara butiran penting diputuskan ahli majlis pada mesyuarat itu ialah mengesahkan Piala Dunia Kelab Fifa kini dikenali sebagai Mundial de Clubes Fifa dengan penampilan kelab daripada setiap enam konfederasi iaitu Afrika, Asia, Eropah, Amerika Utara,Tengah dan Caribbean, Amerika Selatan serta Oceania.

Perubahan itu bermula secara efektif pada 2025 yang menyaksikan Amerika Syarikat sebagai tuan rumah.

Ahli majlis juga memutuskan Chile akan menjadi tuan rumah untuk Piala Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) 2025, manakala Poland akan menjadi hos Piala Dunia Wanita B-20 2026.

Juara Liga Juara-Juara Eropah 2022/2023 dari England, Manchester City bakal membuat perhitungan menentang pemenang Copa Libertadores 2023 dari Brazil, Fluminense dalam aksi final Piala Kelab Dunia Fifa 2023 di Stadium Bandar Sukan Raja Abdullah pada Jumaat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram